Idea jadi PM tidak pernah terlintas di fikiran, kata Kit Siang

Oleh MALAYSIADATELINE

“Idea untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak pernah terlintas di fikiran saya, walaupun Perlembagaan Malaysia membenarkan mana-mana rakyat Malaysia menjadi Perdana Menteri,” demikian yang ditegaskan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya semalam seperti dilapor Roketkini.

Beliau menjawab dakwaan dan tohmahan jahat yang bertubi-tubi dilemparkan Umno terhadapnya.

Baginya, DAP menyertai politik bukanlah untuk mendapatkan sebarang habuan, sebaliknya berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bersatu padu, demokratik, adil, progresif dan makmur.

Selain dituduh ingin menjadi Perdana Menteri, Kit Siang juga dituduh oleh Umno kononnya menginginkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kit Siang difitnah mengadakan mesyuarat sulit dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi melantik dirinya (Kit Siang) sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ini adalah fitnah. Saya tidak bertemu dengan Mahathir dalam mesyuarat sulit pada 3 Disember tahun lalu, dan dalam pelbagai mesyuarat saya bersama beliau, kami tidak pernah membincangkan subjek mengenai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.

Serangan berniat jahat ini, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, dilemparkan bukan terhadap DAP dan pemimpinnya semata-mata, sebaliknya terhadap Pakatan Harapan secara keseluruhannya.

Tambah beliau, ini dilakukan Umno kerana parti perkauman itu bimbang ditewaskan oleh Pakatan Harapan dalam PRU-14 seperti dipetik.