Malaysia Dateline

Idea kerajaan perpaduan cadangan yang tepat pada masa ini

Minggu lepas bila saya mendengar ada perbualan dan perbincangan antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar, saya menarik nafas lega.

Tak kisahlah siapapun yang terlebih dahulu telefon, yang penting ketika ini pemimpin kena bersatu menggantikan kerajaan PN yang gagal.

Malangnya masih ada politiking serang menyerang bersaing sesama sendiri. Saya faham, tulisan ini akan sekali lagi mengundang kritikan.

Apa yang berlaku hari ini mengingatkan saya pada petang 26 Febuari tahun lepas ketika menonton perutusan khas Tun Mahathir di kaca TV.

Jelas ketika itu Tun merayu untuk semua pemimpin mengenepikan kepentingan politik dan mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan yang hanya mementingkan kepentingan negara. Tun juga ketika itu berucap secara langsung menolak sebarang kerjasama en bloc dengan Umno.

Tun pada hari tersebut jelas menyebut, kepentingan dan kestabilan politik bagi menghadapi ancaman kesihatan Covid-19 dan ekonomi, Tun kata penting untuk semua bersatu dan memperkuatkan negara.

Malangnya cadangan Tun memohon sidang Parlimen Khas itu ditolak bukan hanya Pakatan Harapan (PH) hatta partinya sendiri.

Walhal, ketika Tun berucap, kes Covid-19 pada masa itu adalah sifar bagi 11 hari berturut-turut, belum berlaku jangkitan dalam komuniti, tetapi Tun sudah membayangkan negara akan berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi.

Ketika negara benar-benar menghadapi krisis, jika kita masih berpecah, bagi saya, sukar difahami.

Siapa sangka, apa yang diucapkan Tun Mahathir itu berlaku hari ini. Hari ini negara bukan sahaja berhadapan dengan krisis ekonomi dan darurat kesihatan, hatta krisis ketidakstabilan politik.

Bagi saya, Tun Mahathir jauh memandang ke hadapan pada ketika itu sebelum idea Tun itu dizahirkan dalam pentadbiran Jokowi di Indonesia.

Di Indonesia, Prabowo yang menjadi saingan Jokowi ketika pemilihan presiden (Pilpres) 2019 dilantik sebagai Menteri Pertahanan, manakala terbaharu, regu Prabowo dalam pemilihan Presiden Sandiaga Salahuddin Uno mantan Gabenor Jakarta yang menewaskan Ahok, dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada Disember 2020 yang lalu.

Ketika ditanya kepada Sandiaga Uno, mengapa dia menyertai Kabinet Jokowi, jelas dia mengatakan Covid-19 ini “game changer”.

Dia melakukan ini disebabkan pandemik dan ketika ini waktunya singkirkan kepentingan peribadi dan politik, perpaduan itu menjadi kepentingan negara adalah diutamakan. Bagi saya itulah yang diulang Tun ketika menawarkan kerajan perpaduan.

Apa yang dilakukan Jokowi demi negara, terlebih dahulu mahu dilakukan Tun Mahathir. Kalau dilihat kedudukan Jokowi yang sudah terjamin pun memerlukan kerajaan dan politik yang stabil, apalagi Tun Mahathir yang baru kehilangan majoriti.

Bagi saya benarlah kata Tok Guru Nik Aziz, Tun mempunyai pemikiran yang tajam. Tidak hairanlah pelaburan dan ekonomi Indonesia kian berkembang pesat.

Hari ini saya melihat apa yang diucapkan Tun Mahathir hampir dua tahun dulu, sama apa yang diucapkan Tun Mahathir hari ini, iaitu kepentingan negara perlu menjadi keutamaan.

Jelas sehingga hari ini, tidak ada mana-mana blok parti yang dapat menubuhkan kerajaan yang stabil. Bagi saya, Tun Mahathir seorang yang konsisten dan teguh dalam pendirian politiknya.

Malangnya, hari ini ketika negara kita benar-benar sedang gawat, dan ramai dari kita masih berbincang soal siapa yang layak jadi Perdana Menteri.

Pembangkang sendiri masih tidak mampu duduk bersama. Kita masih bersaing sesama sendiri untuk buktikan siapa lebih baik dan layak memimpin negara.

Saya tahu apa yang ditulis ini akan mengundang kritikan. Saya menolak idea MAGERAN, tetapi merasakan idea kerajaan perpaduan ini adalah cadangan yang tepat pada ketika ini.

Tetapi saya sendiri seperti Tun Mahathir, saya hanya menulis dengan apa yang saya rasa benar, soal orang terima atau tidak, terpulang.

Biarpun ramai dari kalangan sahabat membenci dan mengkritik Tun Mahathir, saya kekal berpandangan Tun seorang negarawan yang benar-benar sayangkan negaranya.

Saya sebenarnya tidak kisah pun siapa jadi Perdana Menteri, asalkan matlamat menggantikan kerajaan yang gagal ini tercapai.

Yang penting politik negara stabil. Andaipun kalau Majlis Raja-Raja ada keberanian mahu melantik Datuk Seri Anwar sebagai PM bukanlah satu masalah.

Cumanya saya berpijak dengan realiti politik negara yang masih berpegang kepada semangat ashabiyah, teras politik Melayu Islam.

Apapun terjadi, apapun perbezaan politik, negara benar-benar dalam bahaya. Bersatulah demi negara!