Identifikasi Pemberi Maklumat rasuah, salah laku harus diberi perhatian serius

Identifikasi Pemberi Maklumat rasuah, salah laku harus diberi perhatian serius

Identifikasi sebenar Pemberi Maklumat harus diberi perhatian yang amat serius oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah tafsiran sebenar Pemberi Maklumat harus diperhalusi dan diperjelaskan supaya tidak timbul kecelaruan dan kekhilafan yang akan memberi impak negatif kepada mereka yang terlibat memberi maklumat.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh, ketika ditemui selepas majlis penerangan isu semasa di Butterworth pada Rabu.

Alan Oh

Jelasnya, cadangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya agar Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dimantapkan amat tepat dan harus dilaksanakan dengan segera.

“Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) merupakan akta yang baru digubal bagi memperuntukkan perlindungan terhadap Pemberi Maklumat yang telah mendedahkan sesuatu tindakan yang tidak wajar.

“Sejajar dengan itu sekiranya seorang Pemberi Maklumat mendedahkan mengenai salah laku atau rasuah majikan maupun pihak tertentu, sudah pasti ia berhak untuk mendapat perlindungan dibawah Akta ini.

“Ia sudah pasti amat mengharapkan nasibnya dibela dan keselamatannya terjamin dan terpelihara setelah maklumat sebenar didedahkan, ” jelasnya.

Menurut Alan lagi, perlindungan sudah pasti perlu diperjelaskan merangkumi maklumat sulit yang diberikan, tindakan sivil terhadap pemberi maklumat maupun perlindungan yang akan diperolehi setelah maklumat didedahkan.

“Kedudukan sebenar Pemberi Maklumat mesti diberi perhatian serius tanpa lengah.

“Seandainya ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera, sudah pasti banyak kepincangan dan salah laku dapat dibongkar dan didedahkan setelah Pemberi Maklumat yakin dengan kedudukan serta keselamatan mereka.

“Ia akan berjaya mengurangkan amalan korupsi dan salah laku dari terus berleluasa sehingga memberi kerugian yang amat besar kepada rakyat dan juga negara, ” tambah beliau.

Akta yang telah dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010 ini turut menjelaskan, ketika Pemberi Maklumat mendedahkan kelakuan tidak wajar atau aduan, ia telah pun menikmati perlindungan dibawah Akta tersebut.

Juga dicatatkan bahawa perlindungan ini akan kekal selama-lamanya kecuali dibatalkan dibawah Seksyen 11 akta tersebut.

Melalui akta ini juga dinyatakan bahawa Pemberi Maklumat dan orang yang mempunyai hubungan atau kaitan dengan Pemberi Maklumat boleh menuntut remedi daripada mahkamah sekiranya tindakan yang memudaratkan sebagai tindak balas terhadap pendedahan kelakuan tidak wajar telah diambil atau Pemberi Maklumat bimbang tindakan yang memudaratkan akan diambil terhadapnya.