Malaysia Dateline

Kadir Jasin

Idris Jusoh jangan jadi Mat Jenin

1. Tidak salah bermimpi dan berangan-angan asal bukan angan-angan Mat Jenin yang merosakkan badan atau yang memberi harapan palsu kepada orang ramai.

2. Apatah lagi jika angan-angan itu terlalu tinggi, subjektif dan kompleks bagi difahami oleh orang biasa. Misalnya berapa ramaikah peneroka Felda yang faham mengenai “Fortune 500”?

3. Rasanya bukan peneroka Felda saja yang tidak pernah dengar mengenai “Fortune 500” malah banyak lagi orang di Malaysia dan di dunia yang terpinga-pinga. Hanya orang yang terlibat dengan dunia ekonomi dan perniagaan besar saja yang mungkin faham dan berminat dengan “Fortune 500” ini.

4. Jadi sebelum Pengerusi Felda, Idris Jusoh, terus berangan-angan menjadikan Felda salah sebuah daripada 500 buah syarikat terbesar di dunia dalam senarai “Global 500”, eloklah dia bagi keutamaan kepada perkara-perkara yang lebih mendesak macam yang didedahkan dalam Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA)” yang dibentangkan tahun 2019.

5. Misalnya sebelum kerajaan Pakatan Harapan digulingkan kita sedang berunding dengan tauke Cina Indonesia, Peter Sondakh supaya dia membeli balik saham Eagle High Plantations yang dijual dengan harga yang sangat mahal kepada Felda pada zaman pemerintahan Mohd Najib Abdul Razak. Sondakh ini sangat akrab dengan bekas Perdana Menteri itu sehingga diberi gelaran Tan Sri (kehormat).

6. Masalah ini sebebarnya sangat teruk. Kalau tidak ada sebarang perubahan dalam pegangan saham Eagle High itu, Felda telah mengalami kerugian atas kertas lebih AS$427 juta atau kira-kira RM1.8 bilion kerana harga saham Eagle High telah jatuh merudum.

7. Felda “dipaksa” bayar AS$505.4 juta (kira-kira RM2.1 bilion) bagi 37 peratus saham Eagle High atau IDR580 sesaham iaitu 95 peratus melebihi harga pasaran ketika itu. Harga saham Eagle High sekarang tinggal IDR90 seunit. Ini belum lagi diambil kira pelaburan Felda dalam FGV yang juga merudum nilainya.

8. Jadi eloklah isu-isu segera ini diberikan keutamaan kerana cita-cita menjadi syarikat Global 500 masih terlalu jauh dan kabur. Bayangkanlah Petronas dengan pendapatan AS$58 bilion (RM238 bilion) itu pun baru menduduki tempat ke-186. Pendapatan Felda sebanyak RM700 juta pada tahun 2017 sangat ciput berbanding gergasi antarabangsa dalam senarai Global 500.

9. Mohon baca rencana akhbar Sinar Harian yang dipautkan untuk kefahaman yang lebih luas.

Terima kasih.