Idris patut fikir kerjasama Pas Umno, bukan tolak mentah-mentah

Idris patut tanya Tantawi dan Nik Abduh sebelum tolak kerjasama Umno dan Pas, kata Shahbudin.

 

Naib presiden Pas, Idris Ahmad diminta berfikir semula tentang kerjasama antara partinya dengan Umno, bukannya menolak terus kenyataan ketua penerangan Umno, Datuk Annuar Musa.

Blogger Shahbudin Husin dalam tulisannya mempertikaikan “mengapa Idris Ahmad yang mewakili Pas begitu cepat menolak kenyataan Annuar Musa itu?”

“Dengan Naib Presiden Pas itu menyanggah kenyataan Annuar Musa sambil mengingatkan agar jangan perasan kedua-dua parti mempunyai DNA yang sama, apakah Pas sebenarnya menolak kebaikan bersama yang boleh dicapai melalui kerjasama tersebut?” soal Shahbudin.

“Bukankah musuh Pas adalah DAP, sama seperti musuh Umno juga, sudah tentu hanya dengan bekerjasama saja kekuatan berganda dapat diserlahkan untuk menghadapi musuh bersama itu,” kata Shahbudin.

Idris menolak kenyataan Annuar Musa yang berkata DNA Umno dan Pas sama. Oleh itu, kedua-duanya akan bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang.

“Umno dan PAS berbeza umpama ikan keli dengan ikan sembilang. Kedua-duanya nampak sama tapi sebenarnya lain.

“Mungkin mereka (Umno) ingat DNA sama tapi jangan perasanlah kerana PAS tak sama dengan parti lain,” kata Idris sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian semalam.

Bagi Shahbudin, presiden Umno Datuk Seri Najib Razak telah banyak berjasa kepada Pas.

“Lebih penting daripada itu, Najib Razak selaku Presiden UMNO adalah pemimpin yang banyak berbuat baik kepada Pas,” katanya.

Selain menunjukkan sikap berbaik dan membenarkan usul persendirian RUU355, Najib juga telah membawa pemimpin Pas melalui Jamil Khir Baharom, minum teh tarik di London, sepentas memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya dan mungkin turut berbuat banyak budi lain yang kita tidak ketahui.

“Maklumlah, Najib bukan saja seorang bilionaire, tetapi juga amat pemurah. Di sana sini telah didedahkan bagaimana Najib menghulur RM1 juta, RM2 juta dan ada yang sampai RM9.5 juta kepada orang-orang tertentu yang disukainya.

“Donald Trump yang juga bilionaire pun tidak semurah Najib hatinya,” katanya.

Oleh itu, katanya, apabila Annuar selaku orang kanan Najib menyatakan Umno dan Pas akan bekerjasama kerana mempunyai DNA yang sama, Idris Ahmad tidak sepatutnya begitu cepat menolak dan menyanggah.

“Jangan begitu cepat lupa tentang budi baik Najib terhadap Pas selama ini wahai Idris, Ahli Parlimen Bukit Gantang.

“Bukankah budi dan sikap baik hati Najib kepada Pas sejak kebelakangan ini dan kesediaan Pas menyambutnya menunjukkan UMNO mempunyai DNA yang sama dengan Pas?

“Kalau tak percaya juga, cuba Idris tanya kepada Hadi Awang, Nasaruddin Tantawi atau Nik Abduh, sama atau tidak DNA Umno dengan Pas sekarang ini?” katanya.

CATEGORIES
TAGS