Malaysia Dateline

Idris pemimpin kanan Pas pertama positif Covid-19

Naib Presiden Pas, Sanator Idris Ahmad menjadi pemimpin Pas pertama yang disahkan positif Covid-19.

Idris disahkan positif selepas dipercayai menjadi kontak rapat ketika berada dalam satu program di Perlis.

Sebelum itu, satu hantaran di Facebook tular memaklumkan bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu disahkan positif selepas menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Minta maaf banyak-banyak. KKM baru call (hubungi) lepas Maghrib tadi saya positif COVID-19.

“Punca saya (adalah) kontak dengan Syakur Pasir Putih, Kelantan yang hadir ke Program Liga Pas Perlis pada 7 Januari (Khamis malam Jumaat),” katanya.

Dalam hantaran sama, mesej itu turut meninggalkan pesanan kepada sesiapa yang mempunyai kontak dengan Idris di Sungai Petani, Kedah pada Jumaat lalu dan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Kuala Lumpur pada 9 Januari dinasihat agar berhati-hati.

“Mohon doa daripada sahabat-sahabat semua (dan) esok KKM akan bawa ke Hospital Parti Buntar. Alhamdulillah setakat hari ini sihat,” tulis mesej itu.

Mesyuarat Jawatan Kuasa Pas Pusat 9 Januari lalu turut dihadiri oleh semua pemimpin kanan Pas termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar, menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob dan menteri besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.