Malaysia Dateline

Idrus Harun perlu jelaskan pada rakyat apa asas penyelesaian saman Apandi

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun perlu menjelaskan kepada orang awam apakah asas penyelesaian saman bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara.

Penjelasan ini adalah penting kerana kes ini sepatutnya menjadi duluan kes kepada kes-kes lain melibatkan lantikan Perlembagaan termasuk lantikan politik.

Apandi Ali

Apakah prinsip dan kaedah yang seharusnya diambil kira dalam menamatkan jawatan Perlembagaan seperti Peguam Negara kerana ianya penting sebagai panduan bagi mana-mana kerajaan selepas ini untuk bertindak supaya tiada pelanggaran atau kesalahan berlaku.

Oleh itu, sama ada penamatan kontrak Peguam Negara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 145 perlu dijelaskan oleh Peguam Negara.

Di samping itu, Peguam Negara juga perlu membuat penjelasan terma penyelesaian ini kerana jika ia melibatkan bayaran pampasan, ianya melibatkan wang rakyat kerana dibayar oleh kerajaan Malaysia.

Walaupun penyelesaian ini dibuat tanpa pengakuan kepada liabiliti, peguam negara bertanggungjawab kepada orang awam selaku pembayar cukai untuk mendedahkan jumlah pampasan yang terlibat dan apakah kaedah yang digunakan sebagai asas pengiraan pampasan.

Penjelasan Peguam Negara berkaitan isu ini penting atas prinsip akauntabiliti dan keadilan kerana kes ini melibatkan kepentingan umum dan seharusnya orang awam mengetahui terma penyelesaian saman tersebut.

Apabila Tan Sri Apandi menyaman kerajaan Malaysia atas kapasiti sebagai bekas Peguam Negara, maka kes ini adalah satu kes berkepentingan umum dan bukannya kes persendirian.

Lagipun, telah menjadi satu persepsi umum bahawa penyelesaian kes ini dilihat sebagai satu pengakuan kerajaan bahawa penamatan kontrak Peguam Negara terdahulu dianggap tidak sah.

Keadilan perlu dilihat dilaksanakan dan oleh itu, penjelasan oleh Peguam Negara penting supaya keadilan kepada rakyat dan keluhuran undang-undang (rule of law) ditegakkan.