Malaysia Dateline

Idrus kena hadir sidang khas Parlimen, kata Azalina

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat yang bermula minggu depan, saran Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, kehadiran Idrus perlu agar dia boleh menjawab sebarang soalan berkenaan ordinan-ordinan yang diwartakan sepanjang penguatkuasaan darurat.

Beliau menegaskan Idrus bertanggungjawab untuk berbuat demikian dengan mengambil kira peranannya sebagai penasihat perundangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet.

“Secara idealnya, AG perlu turut serta dalam sidang khas nanti. Ahli-ahli Parlimen ada soalan yang belum terjawab.

“Peguam Negara bukan saja penasihat perundangan kepada jemaah menteri tetapi juga penasihat kepada Agong yang bersama-sama Dewan Rakyat dan Dewan Negara, membentuk Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Sidang khas Parlimen akan berlangsung pada 26 Julai hingga 2 Ogos, disusuli dengan sesi penuh bermula pada 6 September depan.

Idrus yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai Peguam Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 6 Mac 2020 iaitu lima hari selepas Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, mengikut undang-undang pada masa ini, Peguam Negara tidak perlu menjawab secara langsung kepada Parlimen.

“Maka siapa yang akan mengabsahkan rasional ordinan-ordinan yang diisytiharkan ketika darurat?

“Untuk memadamkan keraguan terhadap risiko konflik kepentingan dalam tindakan Peguam Negara, mana-mana Peguam Negara perlu diberi hak untuk didengar sendiri di Parlimen dan bukannya melalui pihak ketiga,” jelasnya.

Beliau turut membangkitkan Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan berhubung peranan Peguam Negara untuk menasihati Agong, Kabinet atau mana-mana menteri dalam soal perundangan.

Selain itu, Azalina juga menggesa agar lebih banyak jawatankuasa terpilih Parlimen untuk diwujudkan dan diberi dana bagi menangani keraguan orang ramai berkenaan keberkesanan sidang khas selama lima hari itu.

Bekas Menteri Undang-undang itu juga menggesa kerajaan untuk membebaskan Parlimen daripada kawalan eksekutif menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen.