Malaysia Dateline

Iftar Perdana beri semangat baru kepada AMANAH Kelantan hadapi PRU-15

Majlis Iftar Perdana yang dianjurkan oleh AMANAH negeri Kelantan di Pasir Mas malam tadi telah memberikan semangat baru kepada pimpinan negeri itu.

Ini kerana, majlis itu mendapat sambutan hangat dari ahli dan juga penyokong AMANAH negeri itu.

Pimpinan AMANAH Pusat juga sertai Iftar Perdana AMANAH Kelantan.

“Kita harap majlis ini menjadi titik mula kita menggerakkan kembali AMANAH negeri menjelang pilihan raya yang tidak lama lagi ini,” kata Muhammad Husain yang memberikan ucapan alu-aluan malam tadi.

Majlis malam tadi diadakan di Aur China, Pasir Mas disertai oleh juga oleh pemimpin AMANAH Nasional termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Awan, Aiman Athirah, Pengarah Komunikasi Khalid Samad dan lain-lain lagi.

Lebih 200 peserta menyertai Majlis Penerangan Isu Semasa dan Iftar Perdana AMANAH Negeri Kelantan itu.

Salahudin meraikan peserta Iftar Perdana AMANAH Kelantan yang berada di luar khemah.

Aiman Athirah ketika memberikan ucapan berkata, AMANAH tidak boleh lagi berundur dari memastikan kepimpinan kerajaan negeri Kelantan yang ada diubah.

“Sebelum datang ke majlis ini, saya turun ke bawah melihat apa yang berlaku di Kelantan sekarang. Saya lihat, selepas 32 tahun, kerajaan yang memang gagal. Yang berjaya hanya rethorik agama sahaja tetapi tidak ada pengisiannya.

“Saya jumpa terlalu ramai orang susah yang tidak terbela di Kelantan. Semalam saya ziarah seorang makcik bekas guru Pasti yang duduk dalam keadaan dhoif.

Aiman Athirah yang berucap memberikan ingatan kepada AMANAH Kelantan agar jangan berundur dalam usaha untuk menukar tapuk kepimpinan kerajaan negeri yang ada kerana jelas sangat sudah gagal.

“Bila saya tanya, kenapa tidak ada bantuan ke, dia kata ada wakil rakyat datang dan berjanji nak bantu tetapi sampai sekarang, selepas bertahun-tahun bantuan yang dijanji tidak kunjung tiba.

“Jadi, saya harap AMANAH Kelantan tidak undur lagi untuk berusaha tukar kepimpinan kerajaan yang ada demi rakyat,” kata beliau yang berucap malam tadi.