IHP menurun kepada 0.5 peratus pada suku ketiga

IHP menurun kepada 0.5 peratus pada suku ketiga

Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur paras inflasi,   pada suku ketiga  2018 (Q3 2018) menurun kepada 0.5 peratus berbanding 1.3 peratus pada Q2, kata Jabatan Perangkaan (DoS).

Makanan dan minuman  tanpa alkohol  mencatatkan peningkatan marginal sebanyak 0.5 peratus berikutan tempoh tanpa cukai pada Q3.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pada Q3 2018, indeks harga pengeluar meningkat 0.1 peratus berbanding negatif 0.4 peratus pada Q2 2018.

Peningkatan ini disebabkan peningkatan “harga yang diterima oleh pengeluar bagi barangan yang diurusniagakan dalam perlombongan (30.1 peratus) dan bekalan elektrik dan gas (0.9 peratus), katanya dalam kenyataan hari ini mengenai laporan Prestasi Ekonomi Malaysia bagi Q3 2018.

Sementara itu, pasaran buruh meningkat 2.6 peratus pada  Q3 kepada 14.9 juta berdasarkan kepada Kajian Tenaga Buruh.

Mohd Uzir berkata pekerja  dalam sektor pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.9 peratus manakala gaji dan upah bagi sektor itu meningkat 9.6 peratus selepas mencatatkan 10.1 peratus pada suku sebelumnya.

“Pada masa sama pekerja dalam sektor  perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 2.7 peratus dan upah  meningkat 3.9 peratus,” katanya.

Pada suku tahun ini, kadar pengangguran adalah 3.4 peratus.

— BERNAMA