Malaysia Dateline

IHP November meningkat 0.2 peratus tahun ke tahun, namun lebih rendah berbanding 0.6 pada Okt

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 0.2 peratus pada November kepada 121.0 berbanding 120.8 yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan.

Kenaikan indeks keseluruhan itu disebabkan oleh peningkatan harga bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api yang lain (+2.0 peratus), pendidikan (+1.4 peratus), restoran dan hotel (+1.2 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+1.1 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (+1.0 peratus).

Bagaimanapun, indeks inflasi pada November rendah sedikit berbanding 0.6 peratus yang direkodkan pada Oktober.

“Pada asas bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Oktober, manakala bagi tempoh Januari-November, indeks mencatatkan peningkatan 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata jabatan itu melaporkan bahawa secara keseluruhan, empat negeri melepasi kadar IHP nasional 0.2 peratus yang direkodkan pada November berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Negeri terbabit ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+1.2 peratus), Negeri Sembilan (+0.6 peratus), Pulau Pinang (+0.6 peratus) dan Johor (+0.3 peratus). Selangor dan Wilayah Persekutan Putrajaya mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras nasional.

Sementara itu, kenaikan indeks direkodkan dalam kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di kebanyakan negeri di Malaysia,

Empat negeri mencatatkan kenaikan indeks kumpulan makanan dn minuman bukan alkohol melebihi paras nasional (+1.1 peratus) pada November berbanding bulan yang sama pada 2017.

Indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 4.8 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, diikuti Negeri Sembilan (+1.5 peratus), Pulau Pinang (+1.3 peratus) dan Selangor serta Wilayah Persekutuan Putrajaya (+1.2 peratus).

— BERNAMA