Ikan salarong, spesies penting penduduk Pagalungan (Sabah) – Kalimantan Timur

Ikan salarong, spesies penting penduduk Pagalungan (Sabah) – Kalimantan Timur

Ikan salarong atau patin muncung amat sinonim dengan penduduk yang sudah tinggal berabad lamanya di Daerah Kecil Pagalungan iaitu sebuah daerah di Sabah yang terletak di perbatasan Malaysia dengan Kalimatan Timur, Indonesia.

Menurut Penolong Pegawai Daerah (ADO) Daerah Kecil Pagalungan, Aloysius Anthony ikan salarong itu terkenal bukan sahaja kerana keenakan isinya tetapi juga kerana spesies ikan itu hanya hidup di sepanjang Sungai Lohongon yang terbentuk daripada gabungan anak-anak sungai seperti Pagalungan dan Tahol Pensiangan yang alirannya menuju ke kawasan Kalimantan Timur.

“Sungai ini (Lohongon) adalah dunia ikan istimewa ini (salarong) … anda tidak menemui salarong di mana-mana di negeri Sabah kecuali di sini.

Ikan salarong merupakan aset penting bagi penduduk di sini kerana ia sebahagian sumber pendapatan…sejak berabad lamanya penduduk di sepanjang sungai perbatasan ini bersandarkan tangkapan ikan salarong untuk keterusan hidup,” katanya kepada Bernama

Beliau berkata penduduk di sini mereka menangkap ikan salarong dan menjualnya untuk mendapatkan wang selain sebagai sumber makanan mereka sendiri.

Disebabkan dominasi spesies ikan salarong di sepanjang Sungai Lohongon itu telah mendorong kerajaan untuk membina sebuah replika gergasi ikan salarong sebagai mercu tanda Pejabat Daerah Kecil Pagalungan.

Aloysius berkata, Jabatan Perikanan Sabah turut memperkenalkan Sistem Tagal di Kampung Pagalungan, Tinanduk, Kuala Pensiangan, Kuala Salong dan Salinatan sebagai usaha memastikan keterusan spesies itu daerah pedalaman ini.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Datuk Ewon Benedict ketika melakukan lawatan kerja dua harinya ke Pagalungan meminta penduduk di kawasan perbatasan agar bersatu untuk memastikan sungai itu terus terpelihara.

Daerah Kecil Pagalungan mempunyai kira-kira 9,000 orang penduduk iaitu 6,000 orang di Mukim Pensiangan dan 3,000 orang lagi di Mukim Pagalungan.

“Di sini kita ada sembilan buah Sekolah Kebangsaan (SK), tiga buah klinik, sebuah pondok kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA), Imigresen dan Kastam di Bantul.

Kerajaan turut membina pos kawalan tentera di Bantul, Saliliran dan Pos Gabungan Malaysia – Indonesia (Kem Sri Seliku),” katanya.

Pekan Kalimantan Timur, Indonesia yang terdekat dengan Pagalungan ialah Masalong.

Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sehingga November 2018, menunjukkan seramai 1,280 rakyat Kalimantan Timur memasuki daerah kecil ini secara sah, sementara 177 rakyat Malaysia ke negara itu untuk pelbagai urusan termasuk perniagaan dan keluarga.

Sebahagian besar penduduk Masalong (Kalimantan Timur) merupakan etnik Murut yang mempunyai kaitan persaudaraan dengan etnik Murut yang tinggal di sepanjang Sungai Lohongan, di perbatasan itu.