Malaysia Dateline

Faiz Fadzil 1

Ikat mahkamah syariah Kelantan dengan fatwa, cabar Kanun

Ahli Jawatankuasa Kanun Faiz Fadzil  menerangkan fungsi mahkamah dalam memutuskan sesuatu kes adalah berpandukan kepada prinsip dan peruntukan undang-undang dan fakta sesuatu kes.

Mengikat mahkamah dengan fatwa akan menjejaskan proses keadilan dalam memutuskan sesuatu kes kerana mahkamah tidak boleh menilai sesuatu fakta dan keterangan secara mendalam dan menafsirkan prinsip dan undang-undang dengan betul kerana Akta yang dicadangkan tersebut akan meletakkan fatwa sebagai asas rujukan keputusan sesuatu kes yang mengikat.

“Maka, keadilan yang perlu dilihat dilaksanakan samaada dalam undang-undang sivil dan syariah akan gagal. Cadangan Akta ini juga akan menyekat kebebasan mahkamah dalam membuat keputusan sedangkan kebebasan mahkamah adalah intipati utama sistem keadilan dan kebebasan kehakiman.

“Fatwa adalah bersifat nilai panduan (persuassive value) dan bukannya nilai mengikat (binding value). Fungsi Mufti berbeza dengan Hakim. Mufti membuat fatwa berasaskan pertanyaan dan soalan. Manakala, Hakim membuat keputusan setelah mendengar fakta dan panduan undang-undang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atau dikenali sebagai Takiri mencadangkan untuk satu Akta digubal untuk memberi kuasa undang-undang kepada fatwa negeri agar dijadikan rujukan bagi ‘mengikat’ Mahkamah Sivil dalam isu berkaitan Islam.

Justeru ujarnya, Kanun mencabar Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah untuk menyahut seruan ahli parlimen Kuala Nerus itu.

“Kanun juga mencabar Takiri untuk mengemukakan RUU persendirian melalui mana-mana ahli Dun untuk mengusulkan cadangan ini sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan berdolak-dalik dalam isu ini,” ujarnya.

Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah berkata, kedudukan undang-undang sedia ada bahawa fatwa adalah berfungsi sebagai panduan kepada mahkamah adalah selari dengan prinsip keadilan dan kebebasan kehakiman.

“Tambahan lagi, fatwa berbeza mengikut negeri. Contohnya dalam isu penamaan “Bin Abdullah” yang berbeza antara Perlis dan fatwa Kebangsaan. Begitu juga isu kewajipan zakat pendapatan yang berbeza antara Perak dan fatwa negeri lain.

“Fatwa juga dikeluarkan oleh Majlis Fatwa setiap negeri yang mana ia ditadbir di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan oleh itu, ia adalah berkaitan bidangkuasa negeri dan bukannya bidangkuasa persekutuan mengikut Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan. Seharusnya sebagai penggubal undang-undang, Takiri mendapatkan nasihat undang-undang daripada pakar perundangan parti beliau sebelum membuat kenyataan yang membelakangkan keluhuran Perlembagaan dan prinsip keadilan.

“Takiri sepatutnya terlebih dahulu mencadangkan kepada kerajaan Pas Kelantan supaya menggubal Enakmen ‘mengikat’ mahkamah syariah di Kelantan dengan fatwa kerana tiada peruntukan dalam mana-mana Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri termasuk Kelantan yang mempunyai peruntukan bahawa fatwa mengikat mahkamah,”terangnya.