Malaysia Dateline

Ikat sokongan, pemimpin Pas akan dilantik dalam DUN Sabah

Seorang pemimpin Pas Sabah dijangka akan dilantik sebagai Ahli  Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik dalam Dewan Undangan Negeri Sabah untuk memenuhi janji Bersatu kepada parti itu.

Menurut sumber, Pas dijanjikan satu kerusi Adun yang dilantik itu jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan rakan-rakan mereka menang dalam pilihan raya Sabah sebagai ganti tidak mendapat sebarang kerusi untuk ditandingi.

“Saya yakin Muhyiddin dan Hamzah akan pastikan pemimpin Pas akan mendapat salah satu kerusi Adun yang dilantik itu bagi mengikat parti itu dengan Bersatu,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menaiki jet eksekutif yang sama ketika mereka ke Sabah menjelang hari penamaan calon.

Ketika itu, para pemimpin Pas Sabah sangat marah kerana permohonan mereka untuk mendapatkan 10 kerusi dalan PRN Sabah tidak dilayan oleh Umno mahupun Bersatu.

Semalam, pemimpin Umno yang duduk dalam kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, Tan Sri Annuar Musa meminta agar seorang pemimpin Pas Sabah dilantik sebagai Adun Negeri Sabah.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata beliau percaya sekurang-kurangnya seorang wakil Pas akan mengisi satu dari enam Adun yang dilantik.

“Saya percaya seorang wakil Pas akan mengisi satu dari enam Adun dilantik. Mungkin dua lagi dari Umno, tiga lagi dari PBS, Star dan Bersatu,” tulisnya di Twitter, semalam.

Menurut Perlembagaan Sabah, kerajaan negeri melalui Yang Dipertuan Negeri boleh melantik enam Adun ke dalam Dewan Undangan Negeri menjadikan jumlahnya 79 Adun.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun partinya hanya menang 11 kerusi berbanding dengan Umno 14 kerusi dalam PRN Sabah.

Ekoran dari ketidakpuasan akar umbi Umno terhadap apa yang berlaku di Sabah, desakan semakin kuat sekarang agar parti itu menarik balik sokongan Anggota Parlimen mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Timbalan Presiden Datuk Seri Utama Mohamad Hassan pula meminta pemimpin Umno mengambil sikap  untuk  bersendirian bersama Pas dan BN sahaja.