Ikatan, Berjasa terima kerjasama Umno dan Pas

Ikatan, Berjasa terima kerjasama Umno dan Pas

Gagasan Sejahtera yang dianggotai tiga parti utama iaitu Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) hari ini mengumumkan menerima kerjasama politik penyatuan ummah di antara Pas dan Umno.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Berjasa dan Ikatan menerima kerjasama tersebut yang dibuat atas kerangka Taawun Siyasi.

“Mesyuarat Tertinggi hari ini juga bersetuju memberi penekanan untuk mengukuhkan kerjasama politik di kalangan parti komponen Gagasan Sejahtera dalam aspek visi, misi dan organisasi.

“Piagam kerjasama Pas-UMNO sudah ada, nanti bila sampai masanya kita umumkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gagasan Sejahtera, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, Gagasan Sejahtera akan menumpukan kepada agenda untuk menyelamatkan negara bermasyarakat majmuk dan menyelesaikan masalah rakyat dengan penglibatan semua pihak.

“Menumpukan kepada usaha untuk menarik sokongan anak muda dan segenap lapisan masyarakat terhadap visi yang diperjuangkan oleh Gagasan Sejahtera,” ujarnya.