Malaysia Dateline

Ikatan luah rasa terharu, bangga dengan sikap PM New Zealand

Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) meluahkan rasa terharu dan bangga dengan sikap Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Adern yang dilihat begitu prihatin dengan mangsa tragedi tembakan rambang di Christchurch.

Tan Sri Abdul Kader Sheik Fadzir

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata beliau terharu dengan kenyataan akhbar Perdana Menteri sebelum ini yang dilihat begitu emosional dan penuh perhatian.

Katanya, ketika sesi melawat mangsa, Ardern dilihat mengenakan tudung (selendang) yang menunjukkan simbolik menghormati orang Islam.

“Di dalam setiap agama pasti ada satu ‘orang gila’ (tidak siuman). Sebagai contoh orang gila ini yang bertindak melepaskan tembakan di dalam masjid dan dengan senang hati berjalan keluar seperti tiada apa yang berlaku.

“Dalam kristian dan agama lain juga ada orang gila ini. Taliban juga ada, bukan satu agama sahaja.

“Jadi bermakna semua agama perlu berkerjasama menyekat orang seperti ini supaya tidak memecahbelahkan solidariti agama,”katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin New Zealand itu.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Dewan Tertinggi Parti Ikatan Malaysia hari ini.

Pada Jumaat lepas Ardern telah membuat kenyataan dengan menyifatkan insiden tembakan rambang di Christchurch sebagai salah satu hari paling gelap di negara itu.

Kerajaan New Zealand dan rakyatnya juga telah melakukan pelbagai usaha membantu mangsa yang terjejas akibat serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, dengan memberikan sokongan serta kata-kata semangat.

Ardern turut mengecam serangan keganasan itu dan menyifatkan tindakan itu satu perbuatan yang langsung tidak boleh diterima akal.

Tragedi itu merupakan “hari paling malang buat New Zealand“, ujar Ardern.