Malaysia Dateline

ikhlas bantu, AMANAH Sarawak tidak pernah bawa lambang parti ketika hantar bantuan

AMANAH Negeri Sarawak ikhlas membantu rakyat dengan memberi sumbangan berupa makanan asas kepada golongan kurang berkemampuan tanpa meletakkan sebarang logo parti.

Menurut Setiausaha AMANAH negeri, Fadillah Sabali, pihaknya tidak meletakkan sebarang logo parti apabila menyampaikan sumbangan kerana dalam situasi sekarang perkara yang paling penting ialah membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan.

Katanya, AMANAH Sarawak tidak mahu sama sekali mempolitikkan bantuan yang diagihkan itu kerana semua rakyat berhak menerima sumbangan daripada mana-mana parti politik.

“Secara peribadi, saya akui kami dari AMANAH Sarawak tidak meletakkan sebarang logo parti apabila mengagihkan sumbangan kepada mana-mana individu yang memohon bantuan.

“Malah, kami juga tidak pernah menggunakan baju dan lambang parti apabila turun menghantar bantuan kepada para penerima.

“Kita ikhlas membantu kepada mana-mana rakyat yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam situasi yang sudah masuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sarawak sekarang ini.

“Ini kerana kita tidak mahu membawa idealogi parti yang berbeza apabila menyerahkan sumbangan walaupun hakikatnya mereka tahu kita adalah dari parti mana,” katanya.

Beliau turut mendakwa, terdapat segelintir rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini belum menerima sebarang bantuan bakul makanan daripada Kerajaan GPS.

“Saya positif dalam hal ini. Mungkin nama-nama mereka tercicir bagi mendapatkan bantuan.

“Namun kita (AMANAH Sarawak) tetap menyampaikan sumbangan dengan ikhlas tanpa prejudis kepada mana-mana idealogi parti kepada sesiapa yang kita bantu itu,” katanya.