Malaysia Dateline

Ikhlas dan setialah berkawan

Ada sahabat yang tulis meminta agar DAP ikhlas dan setia dalam berkawan. Baik nasihat tu. Kadang-kadang kita memang perlu nasihat dan “jentik” juga kawan-kawan yang lebih lajak dari laju.

Saya cuma nak tambah sikit saja. Saya kata sikit tapi silap-silap boleh jadi banyak. Sebenarnya bagi saya, pandangan Adun Bilut dari DAP hanya pandangan peribadi dia sebagai salah seorang pemimpin, ahli dan pendukuong DAP dan juga PH. Memang masa adalah segalanya dan masa inilah yang menjadikan pandangan beliau mengguris rakan lain.

Bagi saya, ini juga pandangan peribadi saya, bukan pandangan parti saya, tak ada salahnya pandangan Adun Bilut tu. Itu pandangan dia. Adakah kita nak semua orang cakap atau berpandangan sama macam kita sahaja? Orang lain pun ada otak dan akal serta perasaan.

Mungkin juga pandangan tersebut adalah rentetan beberapa tindakan yang dilakukan oleh Anwar dan KeADILan yang mungkin secara sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak sengaja turut mengguris hati rakan lain? Cuma dia sebut sekarang. Jadi, masa dia sebut itu amat terasa sebab baru kalah.

Kita juga boleh ungkap beberapa tindakan sebelum ini yang amat mengguris tetapi kawan-kawan diam tidak besarkan.

Contohnya, berkonyong-konyong dari KeADILan turun ke negeri-negeri membuat taklimat dan perjumpaan sesama ahli parti sendiri dan kemudian umumkan akan bertanding di sana di sini.
Turun ke Perlis umumkan akan bertanding 11 daripada 15 kerusi Dun Perlis. Amboi. Kawan lain makan kuah saja ka? Isi semua hangpa balun.

Begitu juga di Kedah. Diumumkan jangkaan bertanding sekian banyak kerusi sedangkan pembahagian kerusi belum dibincang apatah lagi dimuktamad. Amboi… awai pacak.

Kemudian berkeras mahukan penggunaan logo KeADILan dalam pilihan raya sedangkan kita bersama dalam PH yang ada logo rasminya. Berkokok sana sini sehingga sekarang dilambakkan faktor kekalahan disebabkan logo antaranya. Kalau dah bersama, kita sama-samalah popularkan logo HARAPAN tu.

Seterusnya, tindakan Anwar sendiri yang sebelum ini berunding malah sudah berpakat dengan Umno kleptokrat sehingga mendapat angka yang cukup sokongan yang kukuh lagi meyakinkan sebelum pilihan raya Sabah. Strong formidable and convincing katanya dari mana? Semua orang tahulah. Tak payah selindung.

Belum dikira semasa mengadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari pun masih lagi berkira-kira dengan Umno kleptokrat.

Maklumat tidak dikongsi kerana ianya hanya privy kepada mereka. Banyak lagi tau kalau nak disungkit keluar perilaku songsang membelakangkan rakan.

Ingat tak insiden bangun, duduk sebelum bantah Belanjawan 2021 tahun lepas? Angkara siapa?
Cabar pula untuk namakan siapa kalau bukan Anwar? Dulu lagi sudah dicadangkan nama tapi yang keras degil menolak itu ialah kamu.

Tidak ada orang lain yang layak selain kamu. Selagi hutang jawatan PM tidak dilangsaikan, jangan mimpi orang lain diberi laluan. Kalau aku tak dapat biar semua tak dapat. Baru padan muka semua.

Akhir sekali, nak nasihat boleh tapi bila orang lain bagi nasihat sama jangan sentap. Macamlah orang lain semua bodoh. Yang pajak tak semua tau.