Malaysia Dateline

‘Ikhtiar selamatkan kerajaan PN tidak berhasil, ada pihak rakus merebut kuasa’

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menegaskan usahanya untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya.

Pengerusi PN yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu menerusi perutusan terakhirnya mendakwa kegagalan tersebut berlaku ekoran sikap serakah pihak tertentu yang merampas kuasa.

“Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan kerajaan PN.

“Ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan saudara-saudari sekalian,” katanya sebentar tadi.

Dalam masa sama, Mahiaddin mendakwa banyak pihak yang merayu beliau untuk tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Bersatu itu menegaskan beliau mesti mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan seseorang Perdana Menteri yang tidak mendapat sokongan majoriti.

“Rayuan ikhlas untuk saya meneruskan jawatan, saya dengar tetapi saya tidak dapat sambut kerana saya telah hilang majoriti,” katanya.

Sehubungan itu, Mahiaddin menyifatkan apa yang berlaku sebagai ketentuan Allah.

“Bagi saya apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan satu lagi episod dalam sejarah politik saya,” katanya lagi.

Beliau turut menyebut kembali tindakan pemecatan yang dikenakan terhadapnya pada 2015 daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri yang tidak berkompromi dalam isu 1MDB.