Malaysia Dateline

Dayang senandung Watson

Iklan ala ‘Dayang Senandong’ dianggap rasis

Gara-gara penampilan watak Harum Senandung yang mulanya berkulit hitam, iklan Legenda Cun Raya itu dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Mengakui wujudnya perbezaan warna kulit, sebahagian netizen menganggap reaksi menjijikkan orang ramai terhadap wanita berbudaya Melayu yang berkulit gelap dalam iklan itu sebagai keterlaluan.

Kisah wanita berwajah gelap dalam iklan berdurasi kira-kira 14 minit itu dilihat mengambil idea daripada filem Dayang Senandong arahan Jamil Sulong yang diterbitkan pada 1965.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan secara peribadi menyifatkan iklan tersebut mengetengahkan tema tentang kejujuran bukan mengandungi unsur rasis seperti didakwa.

Iklan yang melibatkan ramai pelakon terkenal tanahair itu mengisahkan seorang saudagar kaya-raya mahu mencari pemilik suara merdu yang muncul dalam mimpinya.

Oleh itu, watak yang dilakonkan Kamal Adli itu mengadakan pertandingan menyanyi yang kemudiannya menarik penyertaan puteri cantik dari rumpun Melayu, Asia dan Barat.

Akhirnya, saudagar Al-Kazam bertemu dengan pemilik suara yang dicarinya dengan mendendangkan syair tetapi tampil dengan wajah yang tidak hitam lagi.

Mengulas lanjut, Dr Zurinah menyukai jalan cerita iklan tersebut tetapi tidak menggemari perwatakan wanita yang dilihat berlebihan tidak kena dengan latar zaman ketika itu.

“Dia (Harum Senandung) memberitahu dia sengaja mengotori muka untuk menguji kejujuran saudagar. Wajahnya kembali berseri dengan mencuci dengan produk yang boleh dibeli di Watsons.

“Saya suka story line iklan ini. Cuma tak suka melihat perempuan-perempuan yang bergedik-gedik nak pikat saudagar.

“Dalam hikayat tidak ada gadis-gadis yang berkerumun promo diri sendiri. Mereka ditemui di tempat masing-masing,” ujarnya dipetik dari catatannya di Facebook hari ini.

Semalam Watsons Malaysia membuat permohonan maaf di atas penyiaran video ‘Legenda Cun Raya’ yang mengundang reaksi negatif daripada orang ramai.

“Kami dengan rasa yang teramat kesal memohon ampun dan maaf di atas video terbaru kami “Legenda Cun Raya’ yang dikeluarkan pada media sosial di Malaysia.

“Video 15 minit itu diilhamkan oleh legenda Melayu Dayang Senandong yang dipopularkan pada tahun 1965 dalam filem ‘Dayang Senandong’. Niat kami adalah untuk menyampaikan konsep kecantikan dalaman dan luaran, malangnya video itu telah menyinggung perasaan ramai pihak,” kata Pengurus Besar dan Ketua Negara Watsons Malaysia, Caryn Loh dalam satu kenyataan media.