Malaysia Dateline

Iklan Shopee di tengah kontroversi isu premis judi di Sungai Buloh

Platform e-dagang, Shopee hari ini menarik perhatian orang ramai apabila dilihat mengaitkan kontroversi pendedahan kewujudan premis perjudian haram dan penjualan rokok seludup oleh pengasas Hot Burger Malaysia.

Iklan penyedut habuk di Shopee menggunakan perkataan dengan semuanya huruf besar yang berkaitan dengan isu ‘panas’ di kawasan Sungai Buloh, Selangor dengan pihak polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu.

“Jangan PERJUDIKAN kebersihan premis anda tanpa melakukan apa-apa. Cepat dapatkan vacuum cleaner di Shopee kerana ianya adalah HOT selling item seperti BURGER di tepi jalan.

“Boleh bersihkan MESIN, KUDA permainan dan perabot kedai anda. BIL ELEKTRIK boleh BUKTIKAN betapa efisiennya.

“SERBU link ni sekarang,” kata Shopee lagi.

Paling mengundang geli hati pengguna media sosial apabila Shopee terus menyindir dengan menyebut tentang habuk.

“Ada kesan habuk yang membuktikan premis anda telah lama tidak beroperasi dan ditinggalkan?” sindir Shopee lagi.

Semalam, laman rasmi Facebook Polis Daerah Sungai Buloh memuat naik dua foto yang menunjukkan meja berhabuk di premis yang didakwa wujudnya aktiviti perjudian haram oleh pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid.

“Kesan habuk yang membuktikan premis telah lama tidak beroperasi dan ditinggalkan,” kata Polis Daerah Sungai Buloh.

Rata-rata reaksi orang ramai berkongsikan iklan tersebut dan menyifatkan Shopee bijak memanfaatkan isu semasa yang tular dalam pemasaran produk mereka.

Pada masa sama, warganet menyeru agar pihak berkuasa menegakkan undang-undang tanpa berpilih dengan serius membanteras operasi perjudian haram dan penjualan rokok seludup.

Ekoran pendedahan pemilik akaun Facebook ‘Asri Janggut’ itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat laporan polis berhubung video tersebut.

Paparan video itu dikatakan boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Ketua Polis Balai Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, PDRM dan kredibiliti Ketua Polis Selangor.

Polis Sungai Buloh mendakwa kesan habuk bukti premis judi lama ditinggalkan.