Malaysia Dateline

Iklan Sugarbook: Warda kesal, desak pihak berkuasa ambil tindakan tegas

Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional kesal dengan pemaparan dua iklan LED ‘sugar daddy’ yang berunsur lucah, di kawasan Bangsar dan Bukit Kiara seperti ditularkan dalam laman media sosial semalam yang dirasakan sebagai tidak sensitif dan mendukacitakan.

Setiausahanya, Nusaibah Norbawi, berkata, biarpun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan arahan supaya iklan tersebut ditarik balik, namun kesilapan itu menunjukkan kelemahan penguatkuasaan yang amat ketara.

“Justeru, Warda Nasional yang merupakan sayap wanita muda dalam AMANAH ingin mempersoalkan apakah tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diambil termasuklah menapis terlebih dahulu mana-mana kandungan iklan sebelum dipaparkan untuk tatapan umum?

“Sewajarnya semua pihak terbabit lebih celik dalam memahami nilai budaya dan sensitiviti rakyat dalam negara ini dan tidak terikut-ikut dengan budaya asing yang tidak bermoral demi mengaut keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Nusaibah mendesak agar tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap pelaku kesalahan, disamping siasatan terperinci dilakukan untuk mengenalpasti punca kesilapan yang berlaku.

” Penguatkuasaan yang lebih ketat juga perlu diberi perhatian untuk memastikan kesalahan yang sama tidak berulang lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Semalam, menurut kenyataan Unit Media Jabatan Perancangan Koporat DBKL, paparan iklan LED Sugarbook yang sensitif dan berunsur lucah itu merupakan milik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang telah melantik Tetuan Out Of Home sebagai operator.

Malah, kandungan iklan tersebut sebenarnya tidak mendapat kelulusan dari DBKL dan YWP.