Malaysia Dateline

Iklankan notis bankrap pelanggan tanpa usul periksa, tuntutan aktivis Pulau Pinang terhadap Maybank selesai

Seringkalinya kita mendengar tuntutan demi tuntutan oleh institusi kewangan sebagai plaintif terhadap pemegang akaun.

Namun begitu kali ini agak menarik apabila tindakan saman terhadap Maybank selaku defendan, telah berjaya selepas ia difailkan oleh pemegang akaun, Abdullah Mohd yang juga merupakan Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Pulau Pinang.

Abdullah yang juga seorang aktivis masyarakat ketika ditemui berkata, tindakan saman terhadap Maybank wajib dilakukan sebagai peringatan supaya institusi kewangan tidak dengan begitu mudah dan sewenang-wenangnya mengambil tindakan kebankrapan terhadap peminjam.

“Saya mengambil tindakan saman terhadap Maybank yang telah mengiklankan Notis Kebankrapan pada 14 Oktober 2021 dan ekoran notis tersebut lapan akaun bank saya telah dibekukan serta memberi kesan yang besar kepada saya.

“Tindakan saman terpaksa dilakukan bagi menuntut ganti rugi serta keadilan sebagai salah seorang peminjam dan pemegang akaun yang merasai bahawa saya tidak wajar dilakukan sedemikian oleh mana-mana institusi kewangan.

“Alhamdulillah berkat kesabaran dan keadilan dengan persetujuan tanpa pengakuan liabiliti pihak Maybank selaku defendan harus membayar kepada saya selaku paintiff sejumlah amaun yang telah dipersetujui,” tegas beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang.

Sehubungan itu beliau menasihatkan semua institusi kewangan dalam negara ini supaya tidak begitu mudah melaksanakan kebankrapan terhadap peminjam tanpa usul periksa dan penelitian.

Tambah Abdullah, notis kebankrapan yang diiklankan dengan cuai atau lalai mahu pun apa jua maksud dalam mana-mana media sekalipun akan menjejaskan reputasi, imej dan mencemarkan nama baik mangsa.