Ikram bantah tajuk debat mahu KPM ambil tindakan siasat

Ikram bantah tajuk debat mahu KPM ambil tindakan siasat

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mendesak supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat kejadian Pertandingan Debat Piala Tun Razak di sebuah sekolah di Seremban yang menjadi tular baru-baru ini.

Presiden Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, tindakan tegas harus diambil kepada mana-mana pihak yang telah melanggar tatacara penetapan tajuk sepertimana yang telah ditetapkan KPM, serta tidak bertoleransi dengan isu-isu yang menyentuh akidah umat Islam.

“Semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan juga disaran agar berfungsi dengan cekap dalam menguat kuasa dasar negara, mengambil tindakan wajar dan segera serta memastikan insiden sebegini tidak berulang lagi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, debat yang berlansung selama 3 hari itu jelas terang-terangan bertentangan dengan akidah Islam.

“Tajuk yang membahaskan keperluan menulis semula al-Quran jelas bertentangan dengan akidah Islam kerana Allah Taala telah menjelaskan bahawa dengan turunnya wahyu terakhir, maka telah lengkap dan sempurna ajaran Islam yang mana kesemuanya terkandung dalam al-Quran.

“Oleh itu, penulisan semula al-Quran dengan menambah atau mengurangkan kandungan asal adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Tajuk yang membahaskan keharusan amalan homoseksual pula adalah bertentangan dengan akhlak Islam dan tidak wajar dijadikan tajuk debat. Ini kerana Malaysia dengan jelas telah menolak amalan homoseksual.” ujarnya.

Katanya lagi KPM telah menyediakan garis panduan bagi tajuk pertandingan debat, yang antara lain tidak boleh menyentuh isu-isu sensitif agama dan perkauman seharusnya dipatuhi.

Ikram katanya, menyokong sebarang usaha pembinaan generasi muda yang berilmu, kritis, berakhlak dan bertanggungjawab, namun tidak akan bertoleransi dalam perkara-perkara yang melanggar akidah dan prinsip-prinsip Islam.