Malaysia Dateline

Ikram dijadikan ‘hantu’ kononnya kuasai AMANAH, kata Ustaz Ridzwan

Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) cuba untuk menguasai AMANAH sama ada di peringkat kawasan mahupun sayap dalam pemilihan Jawatankuasa Pimpinan (JKP).

Menurut Setiausaha Biro Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional itu, pemilihan bagi kepimpinan sesi 2019-2022 berlangsung dengan penuh harmoni dan demokratik.

Walau bagaimanapun, katanya, terdapat pihak yang menyambut dakwaan kononnya wujud pencaturan dalam pemilihan kali ini.

“Namanya organisasi yang dianggotai oleh manusia, sudah tentulah di sana-sini terdapat ‘rasa tak puas hati’ dan sedikit ‘rasa hati’ kerana ada yang ‘sampai hati’ dalam musim pemilihan ini.

“Adapun suara dari luar, ada yang mengatakan bahawa ada pihak lain yang terlibat dalam mencatur pemilihan kali ini. Suara luar ini antaranya Dr. Kamarul Zaman Yusoff (pensyarah Universiti Utara Malaysia) sepertinya ada yang menyambut dari dalam.

“Yang dijadikan hantu adalah Ikram, kononnya Ikram cuba untuk menguasai AMANAH sama ada di peringkat kawasan mahupun di peringkat sayap,” lapor Mingguan Amanah.

Mengulas lanjut, Ustaz Ridzwan memberitahu memang ada beberapa bekas aktivis dan pimpinan Ikram yang menang atau mengekalkan jawatan sama ada di kawasan mahupun di peringkat sayap.

Namun, jelasnya, ada juga bekas aktivis atau pimpinan Ikram yang kalah walaupun telah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri.

“Untuk catatan, Setiausaha Agung Pasma (Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia) pun kalah dalam pertandingan di peringkat Kawasan Kubang Pasu, ertinya ia bukan pertembungan antara NGO yang menyertai AMANAH, bahkan ia adalah pertandingan persahabatan antara sesama ahli AMANAH.

“Kalau bukan pertembungan ‘fikrah’, maka puncanya apa? Antara lain adalah kerana ‘kerja buat’ yang dijadikan sebagai ukuran.

“Tapi, kenapa yang dilihat aktif yang kalah? Kerana mereka ada ‘rekod’ untuk dinilai, adapun ‘orang baru’ masih segar dan itulah yang diperlukan oleh sebuah parti politik yang dinamik,” ujarnya.

Ikuti laporan penuh dalam akhbar Mingguan Amanah Edisi 167 di pasaran sekarang.