Malaysia Dateline

Dari enam ke tiga muka surat, IKRAM gesa aktivis pendidikan vernakular hargai tolak ansur

Dua hari sebelum berlangsungnya kongres membantah pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular di Kolej New Era, Kajang, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) juga tampil bersuara.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad mengingatkan jika kumpulan pendidikan vernakular berkeras, pihak lain pula akan bertindak balas dan suasana keamanan keharmonian negara boleh terjejas.

Menurutnya, belum ada hujah atau alasan rasional yang dikemukakan bagi mempersoalkan kewajaran pengenalan Jawi berkenaan.

“IKRAM berpandangan isu ini telah diperbesarkan oleh sebahagian pihak sehingga menimbulkan ketegangan tidak wajar di dalam negara.

“IKRAM berpandangan kebanyakan hujah penentangan tidak berpijak kepada fakta. Kebanyakannya hanya berasaskan andaian, persepsi dan emosi.

“Dari sudut perundangan, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 28 November 2019 telah membuat keputusan bahawa pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam Dokumen Standard Kurikukum dan Pentaksiran (DSKP), mata pelajaran tersebut bersifat pengenalan kepada beberapa ungkapan dalam tulisan Jawi dalam tiga muka surat sahaja.

“Ia bertujuan untuk membolehkan murid mengenali ‘simbol-simbol jawi’ di persekitaran mereka, tidak lebih daripada itu,” ujarnya.

Dalam masa sama, IKRAM, jelasnya menghargai usaha kerajaan untuk meraikan cadangan dan pandangan aktivis pendidikan bukan Melayu sehingga melonggarkan pelaksanaannya dengan mengurangkan bilangan muka surat daripada enam kepada tiga muka surat buku teks.

Sehubungan itu, Dr Mohd Parid berkata, pihaknya menyeru semua pihak agar berusaha keras membina dan mempertahankan keamanan, keharmonian dan perpaduan antara penduduk Malaysia.

“IKRAM berharap aktivis pendidikan vernakular menghargai tolak ansur ini, menerima serta berusaha meredakan ketegangan di sekitar isu ini.

“Isu ini sangat kecil untuk menimbulkan perbalahan berbanding cabaran lain yang lebih besar dalam membina dan mendaulatkan negara,” ujarnya lagi.