IKRAM kecam tragedi di Christchurch

IKRAM kecam tragedi di Christchurch

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) menggesa kerajaan Malaysia untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di New Zealand dan negara-negara lain terjamin.

Gesaan itu dibuat susulan tembakan rambang besar-besaran yang mengerikan, di dua buah masjid di New Zealand ketika waktu solat Jumaat semalam.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, menyifatkan kejadian itu jelas tidak mencerminkan nilai rakyat New Zealand secara umum atau kepercayaan agama mereka.

Katanya, ia merupakan jenayah yang membabitkan puak pelampau dan menjejaskan kesejahteraan awam.

“Kami turut percaya bahawa isu rasisme and ekstrisme adalah universal dan tidak terhad kepada kawasan atau masyarakat tertentu.

“Maka, IKRAM menyeru orang ramai untuk cakna dan berwaspada terhadap bahayanya rasisme dan ekstremisme.

“Selain itu, dunia juga perlu mengambil tindakan segera bagi membendung isu ini sebelum ia membarah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini berhubung serangan yang telah mengejutkan penduduk dunia.

Dalam perkembangan sama, Mohd Parid berkata, pihaknya menyambut baik kecaman kerajaan New Zealand yang menganggap pembunuhan kolektif ini sebagai satu bentuk keganasan.

“Kami juga memuji pihak berkuasa New Zealand atas profesionalisme dan kecekapan mereka dalam menangkap serta mengadili penjenayah.

“Seluruh barisan kepimpinan dan ahli IKRAM berdukacita atas kejadian yang didalangi puak pelampau serta dipercayai membenci golongan Muslim dan kaum pendatang,” katanya.

Mohd Parid berpandangan, menerima kepelbagaian dan perbezaan agama dan bangsa adalah tunjang utama dalam menangani rasisme dan ekstremisme di mana-mana, termasuklah di negara Malaysia yang tercinta.