Malaysia Dateline

IKRAM hantar surat ajak Kamarul, Ridhuan Tee bersemuka

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) memaklumkan yang surat jemputan untuk bertemu telah dihantar hari ini kepada pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah susulan tuduhan ‘ikramisasi’.

Setiausaha Agung IKRAM, Mahdzir Md Isa berkata, pihaknya menjemput mereka yang menyebarkan tuduhan terhadap IKRAM untuk bertemu secara terus.

Baru-baru ini, kedua-dua individu yang juga lantang menolak Pakatan Harapan (PH) itu menuduh IKRAM dengan ‘Ikramisasi IPTA’ bahkan mengaitkan IKRAM dan Freemason.

“IKRAM mengambil sikap terbuka dan menganjurkan pendekatan kerjasama dan perkongsian dengan pelbagai pihak untuk membangunkan negara,” dipetik dari portal IKRAM hari ini.

Menurutnya, IKRAM tidak mudah mengambil sikap bermusuh dengan sesiapa, apatah lagi sesama Muslim kerana menyedari manusia boleh sahaja mempunyai perbezaan pandangan, membuat kesilapan dalam mendapatkan sumber maklumat atau kesilapan dalam menafsir maklumat.

Sehubungan itu, ujarnya, jika ada yang bertindak mengkritik IKRAM secara ilmiah mahupun memfitnah, langkah pertama IKRAM ialah memberi peluang untuk kedua-dua pihak saling memahami dan mencari kebenaran demi menegakkan keadilan.

Dalam masa sama, Mahdzir turut mengingatkan umat Islam akan keburukan dan bahaya kritikan secara melulu jika didapati kemudiannya adalah fitnah.

“Kesannya kelak boleh memudaratkan individu dan masyarakat bukan sahaja kepada yang difitnah, tapi juga yang membuat fitnah, dan yang membaca, percaya, dan menyambung penyebaran fitnah,” katanya.

Justeru tambahnya, IKRAM ingin mengajak masyarakat untuk sentiasa menyemak sebarang berita berdasarkan fakta dan tafsiran fakta yang benar.

“Terlalu banyak maklumat di media sosial yang bercampur baur antara fakta dan rekaan, antara kepentingan peribadi dan organisasi.

“Oleh itu, kaedah bertemu dan bertukar maklumat adalah langkah yang positif dan proaktif untuk meleraikan silap faham,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan belum masanya untuk melakukan tindakan perundangan terhadap mereka yang memfitnah kerana pertemuan dan perbincangan adalah langkah permulaan.

“Kita ada beberapa langkah untuk menyelesaikannya, tapi tindakan perundangan adalah langkah yang terakhir,” tambah Mahdzir lagi.