Malaysia Dateline

Ikram ingatkan ahlinya bersabar, beri ruang mahkamah adili kes Nik Khatijah

Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) mengingatkan ahli-ahlinya agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum pasti bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada perjalanan prosiding kes Almarhumah Nik Khatijah Nik Mud.

Dalam satu kenyataan, Presiden Ikram Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, semua pihak dapat bersabar sementara menanti prosiding kes selesai di mahkamah nanti.

Ikram mengikuti secara dekat berita mengenai kakitangan Ikram yang telah dituduh di Mahkamah Majistret Kajang dalam kes kematian Almarhumah Nik Khatijah Nik Mud.

Pertuduhan tersebut adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Ikram memandang serius atas apa yang berlaku dan akan berusaha bagi memastikan kebajikan kedua-dua belah pihak terpelihara.

“Ikram juga akan meningkatkan langkah-langkah kawalan dalaman bagi memastikan keselamatan semua kakitangannya terjaga,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk ahli-ahli Ikram untuk memberikan ruang sepenuhnya kepada mahkamah bagi mengadili kes kematian Almarhumah menurut undang-undang.

Bahkan katanya, Ikram akan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam memastikan keadilan kepada semua dapat ditegakkan.

“Pada masa yang sama, Ikram sentiasa percaya bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah oleh mahkamah, dan menyakini masyarakat dapat berpegang pada prinsip yang sama,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Muda Malaysia Nik Khatijah Nik Mud, 32, ditemui mati di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko pada 5 Mac.

Semalam, Pengurus Pertubuhan IKRAM Malaysia Hasbullah Ismail, 57, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang di atas pertuduhan membunuh rakannya itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hasbullah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.