Ikram kutuk percubaan rampasan kuasa di Turki

Ikram kutuk percubaan rampasan kuasa di Turki

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengutuk sekeras-kerasnya percubaan rampasan kuasa ke atas kerajaan yang dipilih secara demokratik di Turki.

Presiden Ikram Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, Ikram menzahirkan solidariti bersama rakyat Turki dan berharap situasi di Turki di bawah pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan kembali tenang dan sebarang pertumpahan darah seterusnya dapat dielakkan.

“Ikram menegaskan lagi sokongan terhadap sistem demokrasi dan menolak sebarang percubaan untuk menggugat demokrasi di mana-mana negara sekalipun.

“Ikram menyeru semua pihak untuk menyelesaikan isu-isu politik melalui saluran perlembagaan dan demokrasi, dan menolak sebarang cara keganasan dan pertumpahan darah.

Bemula petang Jumaat waktu tempatan, sekumpulan kecil tentera cuba melakukan aksi kudeta dengan menguasai beberapa jalan perhubungan, lapangan terbang dan stesen televisyen di Turki.

Sementara itu, Erdogan berkata, beliau sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri bagi mempertahankan Turki daripada tindakan tidak bertanggungjawab segelintir tentera yang cuba melakukan rampasan kuasa ke atas kerajaannya pada Jumaat pagi.

Erdogan berkata, Turki adalah segala-galanya baginya dan untuk itu nyawanya boleh menjadi galang ganti sekiranya ‘itu yang diperlukan’ untuk memastikan keamaan kembali di Turki.

“Bendera Turki merupakan penghormatan kepada saya, negara saya merupakan penghormatan kepada saya dan saya bersedia untuk mati bagi mempertahankannya,” katanya seperti dipetik CNN.

Erdogan berkata, penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan bagi menangkap pegawai tentera yang bersikap tidak bertanggungjawab bagi menggulingkan kerajaannya.

TAGS