Ikram pegang etika nilai Islam, tolak pelantikan pegawai awam secara tidak betul termasuk ahli

Ikram pegang etika nilai Islam, tolak pelantikan pegawai awam secara tidak betul termasuk ahli

Pertubuhan Ikram  Malaysia (Ikram) menolak sebarang pelantikan pegawai awam secara tidak betul walaupun ianya adalah untuk ahli mereka sendiri.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, sambil menggalakkan ahli-ahli untuk berkhidmat kepada negara, pihaknya menolak perkara tersebut kerana Ikram adalah organisasi yang berpegang dengan piawaian etika yang tinggi dalam nilai-nilai Islam.

“Seperti yang termaktub dalam konsep Negara Rahmah, kompetensi dan integriti dalam kepemimpinan dan kerajaan yang berdasarkan semak dan imbang yang berkesan, adalah sebahagian daripada nilai-nilai teras yang kami berpegang teguh dengannya.

“Ikram komited dalam pembinaan negara dan akan terus memainkan peranan kami. Dengan melakukan demikian, kami mempromosikan perkongsian dan muafakat yang kukuh antara pelbagai pemegang taruh, tanpa mengira kaum atau agama.

“Kami juga menyokong usaha kerajaan sekarang untuk melahirkan rakyat Malaysia yang terbaik dan paling berwibawa dengan integriti yang tinggi untuk memimpin dan mengurus negara kita menuju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Parid menyifatkan Ikram adalah sebuah NGO Islam yang progresif dan kontemporari.

“IKRAM menarik ramai profesional dan ilmuan Muslim di Malaysia untuk menyertai kami. Ikram adalah takungan kepada ahli-ahli daripada semua lapisan masyarakat, termasuk ahli akademik dan profesional yang berkaliber dan berkelayakan tinggi.

“Kami mempromosi semangat patriotisme dalam kalangan ahli dan masyarakat. Oleh itu, sekiranya ada ahli Ikram diseru untuk berkhidmat kepada negara kita yang dikasihi, ia adalah berdasarkan kepada kelayakannya (merit) sendiri dan juga sebagai menyahut seruan patriotisme selaras dengan nilai-nilai kami.

“Kami percaya perkara yang sama berlaku kepada mana-mana ahli NGO yang berkongsi nilai yang sama di negara kita,” katanya.