Malaysia Dateline

IKRAM punya kaitan dengan Freemason, tuduhan karut

Dakwaan yang cuba mengaitkan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan gerakan Freemason, dibidas sebagai tuduhan yang karut, tidak berasas dan berniat jahat.

Setiausaha Agung IKRAM, Mahdzir Md Isa, berkata IKRAM bukanlah satu pertubuhan rahsia atau bawah tanah yang mempunyai agenda yang tidak baik terhadap negara apatah lagi umat Islam.

Malah, beliau melahirkan rasa hairan terhadap tuduhan pemilik akaun Facebook bernama Dr Ismadi itu, yang mana menurut Mahdzir, IKRAM secara terang merupakan antara pertubuhan aktif di Malaysia yang menyumbang untuk Palestin dan menentang penjajahan haram Zionis Israel.

“Berdasarkan dasar, matlamat, misi dan visi yang telah ditetapkan, kami rasa hairan apabila terdapat pihak yang mendakwa bahawa IKRAM mempunyai kaitan dengan gerakan Freemason.

“Sekiranya IKRAM mempunyai kaitan dengan gerakan Freemason, sudah pasti IKRAM tidak akan sekali-kali terlibat dalam memberikan bantuan kepada Palestin, memandangkan gerakan Freemason dikenali sebagai sebuah gerakan yang mendokong agenda Zionis.

“IKRAM juga digerakkan oleh para cendekiawan dalam pelbagai bidang, lulusan dalam dan luar negara,” kata beliau seperti dipetik melalui portal pertubuhan tersebut.

Menurut Mahdzir lagi, IKRAM Malah pernah melakukan kerjasama dan membantu menjayakan Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) pada Februari lalu.

Tambahnya, Perlembagaan IKRAM jelas bahawa dasarnya ialah Islam dan asas pegangannya ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Ijtihad yang diikuti dengan lapan matlamat yang antaranya menyebarkan risalah Islam melalui dakwah serta mempertahankannya daripada kebatilan dan syubahat.

Beliau menjelaskan lagi, meskipun akaun ‘Dr.Ismadi’ tidak diketahui pemiliknya dan baru diwujudkan pada bulan ini, IKRAM merasakan perlu memberikan penjelasan agar masyarakat mendapat maklumat yang benar tentang pertubuhan tersebut.