Ikram sedia sertai Kongres Rakyat jika ada jemputan

Ikram sedia sertai Kongres Rakyat jika ada jemputan

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) belum menerima jemputan daripada penganjur Kongres Rakyat 2016 yang akan diadakan pada 27 Mac ini.

Setiausahanya Nahar Md Nor berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Ikram tidak akan dijemput ke program tersebut kerana sewaktu majlis menandatangani Deklarasi Rakyat 4 Mac lalu, NGO tersebut tidak dijemput.

“Saya tak fikir Ikram akan dijemput oleh Zaid Ibrahim. Semasa majlis Deklarasi Rakyat dan tanda tangan, Ikram juga tidak dijemput untuk turut serta.

“Pihak kami memang belum menerima apa-apa undangan dan sekiranya dijemput, kami akan turut serta,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Khamis lalu, Zaid dalam sidang media di Petaling Jaya berkata, kongres tersebut akan dihadiri pemimpin dari parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) wakil kesatuan pekerja dan orang perseorangan yang menyokong Deklarasi Rakyat yang ditandatangani pada 4 Mac lalu.
Antara kumpulan yang akan hadir katanya ialah ahli dan bekas pemimpin Umno, DAP, PKR, Amanah, Bersih, MTUC, kumpulan pelajar dan golongan muda.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama di program anjuran Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) itu yang akan berlangsung di Dewan Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula jam 1 hingga 6.30 petang.

Ditanya mengenai pendirian Ikram berhubung Deklarasi Rakyat, Nahar berkata pihaknya tiada halangan untuk menyokong deklarasi yang menegakkan kebenaran dan menolak kezaliman namun dari segi teknikal, ia perlu kepada perbincangan lanjut.

“Isi kandungan deklarasi secara prinsipnya adalah untuk menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman. Secara prinsip Ikram tiada halangan untuk menyokong. Dari segi teknikal ia memerlukan perbincangan lanjut,” katanya.

TAGS