Malaysia Dateline

Ikram tekankan peranan ibu bapa bantu guru beri motivasi pada anak ketika COVID-19

Sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia, Pertubuhan Ikram Malaysia menyarankan agar ibu bapa mengambil peranan bersama guru dalam memastikan proses pembelajaran anak-anak berlangsung dengan baik selain memastikan motivasi berterusan diberikan kepada mereka.

Ketua Wanita Ikram, Sallawahiu Mohd Salleh berkata, dalam suasana pembelajaran di atas talian, peranan ibu bapa amat kritikal pada waktu ini dan mereka tidak wajar disibukkan dengan alasan komitmen kerja.

Menurutnya, sungguhpun pembelajaran atas talian dipraktikkan untuk mengekalkan keterlibatan murid dalam pelajaran, namun ia tidak dapat mengganti sepenuhnya interaksi psiko-sosial-emosi yang diperlukan dalam kehidupan kanak-kanak.

“Di Eropah, sekolah merupakan institusi terakhir yang ditutup kerana interaksi sosial dan emosi dilihat sebagai elemen yang amat penting dalam perkembangan kanak-kanak.

“Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu segera bertindak dalam menyediakan sokongan fasiliti dan solusi praktikal yang boleh dimanfaatkan bagi melancarkan lagi pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, risiko keciciran semakin meningkat apabila statistik melaporkan tujuh peratus kanak-kanak daripada golongan pinggiran di Kuala Lumpur telah hilang minat untuk ke sekolah.

Manakala sembilan daripada setiap 10 kanak-kanak juga tidak mempunyai peranti yang sesuai untuk meneruskan pembelajaran di atas talian

Sementara itu kata Sallawahiu, majlis agama, institusi masjid dan rumah ibadat perlu lebih proaktif dalam menyantuni kanak-kanak supaya situasi pandemik Covid-19 tidak terus menjadikan kanak-kanak mengalami defisit kepercayaan dan kekeringan ikatan kerohanian.

Jelasnya, Institusi tersebut perlu bergandingan bersama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan anggota masyarakat untuk menyumbang tenaga, idea dan kepakaran mereka dengan menyediakan fasiliti interaksi sosial yang dapat membina perkembangan kanak-kanak.

Katanya lagi, taman-taman dan pusat pusat rekreasi perlu dibuka dengan operasi kawalan yang sesuai bagi memastikan perkembangan fizikal, sosial, emosi, kognitif, dan komunikasi kanak-kanak dapat berjalan dengan baik.

“Tanpa aktiviti fizikal di luar rumah, kanak-kanak akan terdedah dengan risiko penggunaan gajet yang keterlaluan jika tiada pemantauan yang sewajarnya dibuat oleh ibu bapa,” katanya lagi.