Malaysia Dateline

Ikrar 100 hari Amir

Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berikrar akan memudahkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim untuk menyampaikan segala aduan dan permasalahan yang berlaku di kawasan mereka.

Beliau berkata, ianya akan dapat direalisasikan dengan ikrarnya yang mahu menghapuskan segala protokol agar penduduk di kawasan berkenaan boleh berhubung secara terus dengan beliau sekiranya diberi peluang sebagai wakil rakyat di Dun N.58.

Malah, berada di blok bebas dan tidak terikat dengan kerajaan memberi mata tambahan kepada peguam muda itu untuk bebas mengkritik dan bersuara agar permasalahan rakyat dapat diselesaikan.

“Apa saya harapkan dalam tempoh 100 hari itu, saya mahu sekurang-kurangnya pengundi berpuas hati dan mereka tahu bila ada masalah, mereka boleh berjumpa terus wakil rakyat mereka tanpa protokol.

“Kadang kala apabila berada di dalam kerajaan, kritikan itu agak terbatas. Tapi sebagai calon Bebas, dengan kebebasan ini saya boleh bawa suara penduduk kampung kepada pengurusan daerah Muallim, sekaligus bertindak sebagai semak dan imbang kepada kerajaan,” katanya dalam wawancara bersama media hari ini.

Sementara itu, beliau juga mahu memfokuskan untuk memperkasakan peranan wanita dan peranan anak muda dalam mengubah struktur masyarakat yang lebih berdaya saing.

“Kalau diberi peluang, saya dan pejabat Dun akan menjadi pemudah cara membawa anak felda sendiri untuk kembali ke sini dan taburkan khidmat dari segi ilmu tentang pemasaran ekonomi, dan meningkatkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk golongan wanita.

“Kira-kira 41 peratus pengundi Slim adalah anak muda. Mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan, kita boleh gilap bakat mereka agar dapat beri impak positif kepada Slim,” katanya lagi.

Beliau juga tekad untuk mempraktikkan empat amalan sepanjang menjadi peguam dan akan mengaplikasikannya di Dun Slim bagi membantu penduduk di sana.

Antaranya untuk terus mendengar keluh kesah rakyat dan memastikan tiada seorang pun yang tercicir dari mendapat maklumat sepatutnya.

“Empat perkara yang saya akan praktikkan selama sebagai peguam dan sebagai wakil rakyat kelak. Saya akan mendengar, mencari solusi, membuat tindakan penyelesaian dengan apa jua cara, dan yang terakhir saya akan menyalurkan kembali maklumat kepada penduduk Slim.

“Kita akan usaha beri semula maklumat berhubung aduan mereka agar hilang kegusaran dan keresahan yang datang,” katanya lagi.