Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan (AMANAH WP) menyambut baik saranan kerajaan untuk mengkaji semula peranan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) termasuk membekukan dana mereka bagi memastikan mereka berperanan mengikut tujuan penubuhannya.
Ini kerana, menurut Naib Pengerusi AMANAH WP Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi sejak penubuhannya secara rasmi pada 9 Disember 2014, peranan IKSIM belum jelas serta sumbangannya terhadap umat Islam tidak begitu signifikan meskipun telah mendapat dana daripada pihak kerajaan.
Katanya, difahamkan dana yang telah diperolehi IKSIM sebanyak RM 10 juta setahun dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), satu angka yang banyak bagi sebuah organisasi bagi menjalankan fungsinya.
Bahkan tambahnya, terdapat maklumat bahawa IKSIM juga telah mendapat dana sebanyak RM 5 juta dari MAIWP sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 untuk tahun 2018.
“Sepatutnya dengan dana tetap sebegitu setiap tahun, IKSIM telah lama mengorak langkah yang jauh dalam memastikan kedaulatan Islam diletakkan pada tempat yang tertinggi di negara ini.
“Sebagaimana hasrat Majlis Raja-Raja Melayu yang mengizinkan penubuhannya melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-225, IKSIM mesti bertanggungjawab dalam memastikan kepercayaan terhadap penubuhannya diberi seratus peratus,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.
Justeru beliau berkata, amat wajar kerajaan mengkaji peranan mereka memandangkan ia adalah satu proses memperkasakan institusi kerajaan terutama yang berkaitan dengan agama di negara ini sebagaimana JAKIM yang telah dibuat kajian secara terperinci.
AMANAH percaya kerajaan tidak bercadang untuk membubarkan IKSIM, namun IKSIM mesti diberi nafas baru dengan kepimpinan yang idealistik dan berpandangan jauh, bidang tugas dan peranannya yang lebih jauh ke hadapan.
AMANAH WP tidak mahu penubuhan mana-mana organisasi di bawah kerajaan hanya sekadar ‘melepas batuk di tangga’, mereka mendapat dana yang banyak, namun tidak mampu menggerakkan organisasi tersebut sebaik mungkin.
Beliau juga bimbang penubuhan organisasi ini sekadar mahu menyalurkan dana untuk kepentingan pihak tertentu dan bukan mengikut tujuan sebenar ia ditubuhkan.
“Jika keadaan demikian berlaku, ia amat dikesali kerana dana kerajaan hasil titik peluh rakyat hanya berlegar pada golongan tertentu yang berkepentingan dan bukan kepada umat Islam yang sepatutnya.
“Kepimpinan Malaysia Baharu di bawah kerajaan HARAPAN perlu mengorak langkah mereformasikan institusi kerajaan. Kerajaan Harapan perlu dibersihkan, dan membersihkan semua agensi di bawah kementeriannya adalah jihad besar bagi memastikan negara dipimpinan oleh pemimpin jujur, amanah, telus dan bertanggungjawab,”tegasnya.