Malaysia Dateline

Iktibar Anwar lawan Syed Mokhtar

Pada pandangan saya, tidak semuanya buruk atau negatif apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk ‘mengherdik’ (reprimand) usahawan Syed Mokhtar Albukhary.

Mula-mula sekali, banyak orang ‘mengherdik’ Anwar balik dan menuduhnya menghukum satu-satunya usahawan Bumiputera dalam kategori billionaire di bumi Malaysia ini, tetapi senyap mengenai bukan Bumiputera yang juga mendapat monopoli, kontrak dan konsesi berbilion ringgit dari kerajaan.

Kemudian banyak yang pertahan dan puji Syed Mokhtar kerana amal jariahnya yang banyak dan kemampuannya bersaing dengan bukan Bumiputera.

Ok lah, tidak semua usahawan perfect dan tidak semua monopoli, kontrak dan konsesi yang mereka terima telus.

Sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan zaman pengswawataan tahun 1990-an, Anwar terbabit terus dan banyak usahawan pelbagai bangsa mendapat faedah daripada largesse (kemurahan hati) beliau.

Saya cukup yakin kalau beliau mahu, beliau boleh menghimpunkan usahawan yang menikmati keuntungan besar daripada kemurahan hati beliau 30 tahun lalu untuk membantu beliau membangunkan semula ekonomi Malaysia macam Dr Mahathir Mohamad dibantu oleh Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council).

Mungkin Anwar tidak terlibat secara langsung membangun dan memajukan empayar perniagaan Syed Mokhtar. Tetapi ketika Anwar menjadi orang kanan Dr Mahathir pada tahun 1990-an, Syed Mokhtar sudah pun seorang peniaga Bumiputera yang berjaya.

Antara yang membantu beliau adalah Mahiaddin Md Yasin selaku Menteri Besar Johor. Dr Mahathir datang kemudian, lepas Mahiaddin.

Dia dalam lima tahun lebih muda daripada saya dan kami berkongsi sekolah. Saya Saint Michael School pagi bantuan kerajaan dan dia Saint Michael School swasta petang.

Dia kenal ayah saya melalui kerba lembu. Ayah saya ternak kerbau dan lembu. Syed Mokhtar dan bapanya berniaga kerbau lembu.

Anwar ungkit pasal monopoli beras. Monopoli beras ini ciptaan kerajaan. Zaman penjajah sudah ada. Bermula sebagai Rice Distribution Guilds selepas Perang Dunia Kedua dan kemudian Pejabat Kawalan Makanan.

Di bawah sistem monopoli inilah francais beras, gula dan gandum diberikan kepada bapa Robert Kuok, Mendiang Kuok Keng Kang, oleh kerajaan Johor dan beberapa orang lagi tauke Cina di negeri-negeri lain.

Tahun 1971 kerajaan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Pada 1996 ia diswastakan menjadi Bernas dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun berikutnya.

Masa itu Anwar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Tentu beliau tahu asal usulnya. Syed Mokhtar hanya membeli kawalan syarikat itu pada 2014.

Rasanya ini cerita pukul anak, sindir menantu. Sasaran sebenar mungkin “ketua agitator” Perikatan Nasional (PN), Shahidan Kassim yang bercakap mengenai kejatuhan Kerajaan Perpaduan.

Pada 24 November, dia dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan yang diketuai PH yang memilih bekerjasama dengan parti dengan jumlah kerusi yang sedikit tidak akan kekal lama. Bagi yang tidak tahu, Anwar dengan Shahidan ini seteru lama.

Anwar pun dah kata, bukan tujuan dia nak gugat empayar Syed Mokhtar. Tapi mengherdik Syed Mokhtar dan mendapatkan “derma” RM60 juta untuk dua tahun tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan penanam padi atau import beras.

Untuk mula memahami masalah ini, Anwar dan Menteri Pertanian, Mohamad Sabu, kena singsing kaki seluar dan turun ke bendang. Rasa berapa dalam kelebok!

Baca juga: Kekerapan tren LRT dalam usaha dipertingkat kepada tiga minit berbanding lima minit – Anthony Loke

Baca juga: Ambil kesempatan untuk naikkan trafik, Ungku Ismail harap portal berhenti sebar berita palsu