Malaysia Dateline

Iktibar dari MAEPS: Patuhi SOP, ingatlah orang yang tersayang

Berkesempatan menonton Majalah di TV3 malam tadi. Kisah tragis tentang pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila disahkan positif. Semuanya bercampur baur.

Perasaan hiba, sedih dan tertekan. Mati tiada teman melainkan mereka yang menjalankan tugas menjadi saksi. Hanya mereka yang dekat menguruskan tanpa ahli keluarga di sisi saat maut menyapa.

Hari ini juga tular satu video bersalam-salaman antara ahli keluarga dengan ayah mereka, iaitu seorang pesakit positif Covid-19. Seolah-olah tanda sokongan, mengiringi si ayah menuju ke pusat kuarantin.

Sebenarnya, ia adalah kesilapan yang boleh membawa ahli keluarga juga berpotensi untuk dijangkiti. Setahun diratib dengan pesanan, namun sikap sambalewa kita bakal mengundang padah.

Sedikit pengalaman, semasa menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), saya sempat menyaksikan sendiri beberapa situasi kritikal ketika pesakit terpaksa dikejarkan ke hospital setelah pantauan dan rawatan sokongan tidak mampu membantu.

Doktor dan jururawat bertungkus-lumus untuk menstabilkan keadaan pesakit sehingga sampai ke hospital. Ini kisah benar dan realiti yang terjadi. Walaupun pada awalnya ada dalam kalangan pesakit Covid-19 disahkan berisiko rendah namun tidak semena-mena berubah kondisi.

Bacaan oksigen dalam badan jatuh tiba-tiba, kesukaran bernafas kerana serangan mendadak pada saluran pernafasan. Gejala demam yang berulang datang dan pergi termasuk simptom hilang deria rasa dan bau yang berpanjangan.

Kadangkala simptom sampingan seperti sakit tekak dan kepala juga menyerang. Situasi ini merupakan antara perkara penting yang akan diberi perhatian sepanjang tempoh kuarantin oleh pegawai dan pembantu kesihatan terutama dalam kalangan pesakit yang berisiko tinggi, iaitu mereka yang sedang menghidap penyakit-penyakit kronik.

Covid-19 sangat bahaya dikala tiada ubat khusus yang terkait dengannya. Hanya vaksin sebagai ikhtiar pencegahan. Apa yang perlu dilakukan saat ini? Ingat, hadam dan patuh.

Sepertimana kempen kemalangan jalan raya, ‘patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ingatlah orang yang tersayang’. Langkah pematuhan yang ketat terhadap SOP itu sangat penting dan begitu mendesak. Cintailah diri sendiri, kasihilah seluruh barisan hadapan kita yang telah banyak berkorban.

Kurangkan pergerakan, jangan berhimpun di tempat yang sesak, pakai ‘face mask’ bukan semata-mata face shield. Elakkan bersentuhan tanpa keperluan dan jauhi bersalaman buat masa ini.

Sedarilah bahawa virus ini telah berada di dalam komuniti kita semua. Buktinya kes semakin menaik mendadak. Ramai yang tidak sedar dan ‘keliru’ bagaimana mereka boleh terkena dan disahkan positif. Pesan ini buat diri dan nasihat untuk semua.

Pusat kuarantin semakin sesak, bilangan pesakit begitu ramai. Wad rawatan ICU dan kontena mayat mula ditambah. Kluster baru dikenalpasti saban hari, virus dengan pelbagai jenis varian merebak lebih pantas. Nah, ini petanda apa? Musibah ini di tahap bahaya.

Kepada Allah kita berserah, namun perlu juga berusaha mencari jalan menghindarinya. Moga Allah membantu agar segera diangkat wabak ini.

Nota: Empat beradik ini dibawa ke MAEPS setelah disahkan Covid-19. (gambar atas) Ibu bapa mereka positif lebih awal. Semasa menjalani kuarantin begitu ramai juga kanak-kanak di sini. Majoriti kes adalah jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

Rekod varian dari Afrika Selatan setakat semalam yang semakin merebak. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah percaya ia telah merebak ke banyak negeri.