Malaysia Dateline

Iktibar isu Ziyad Zolkefli

Ledakan maklumat di media sosial kita sarat dengan pelbagai status sama ada benar, separuh masak atau palsu, ditambah pula dengan elemen sensasi, provokasi atau kontroversi.

Begitu juga dengan sebahagian masyarakat kita yang kurang berhemah apabila dengan mudah dan cepat terus berkongsi sesuatu maklumat yang belum dipastikan kesahihannya atau separuh masak.

Ya, negara kita sudah merdeka daripada penjajahan. Namun, sikap sebahagian kita yang tidak berhemah dalam menapis maklumat, sebenarnya mereka belum menemui kemerdekaan yang hakiki.

Kita dapat lihat apa yang terjadi apabila atlet lontar peluru paralimpik negara yang bertaraf dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli yang dibatalkan kemenangannya gara-gara dikatakan lewat memasuki ‘call room’ dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Tanpa selidik, pelbagai kata-kata nista dan kecaman dihamburkan oleh warganet kita kepada media sosial kedutaan dan atlet Ukraine yang memenangi acara itu padahal negara itu hanya melakukan apa yang dibenarkan dalam peraturan sukan.

Ini diburukkan lagi dengan sikap sesetengah tokoh dan pemimpin negara yang mempertikaikan keputusan itu tanpa usul periksa atau mendapatkan dahulu penjelasan pihak penganjur.

Ya, kita sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Namun, sikap kita yang suka menghukum dan mencari salah penganjur atau atlet lain memberikan imej yang buruk kepada negara Ukraine dan juga antarabangsa.

Walaupun begitu, mahu tidak mahu terpaksalah Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin memohon maaf kepada Ukraine atas insiden kecaman itu.

Sudah 64 tahun negara kita merdeka, namun sikap sebahagian rakyat dan pemimpin kita masih belum merdeka. Reaksi dan kenyataan negatif berupa cacian, makian, hinaan dan kecaman yang dihamburkan di media sosial memberikan contoh yang tidak wajar kepada generasi kita seterusnya.

Adakah sikap-sikap sebegini yang ingin kita wariskan? Sudah tentu tidak. Justeru, apa sahaja berita yang diterima, pastikanlah dahulu kesahihannya sebelum memberikan respons yang wajar.

Nampak seperti mudah, namun ia sukar. Sebahagian kita amat mudah percaya dengan apa yang diberitakan seterusnya berkongsi dan memberikan respons yang negatif walaupun berita itu belum tentu benar.

Saban hari kita dihidangkan dengan berita yang tidak benar atau separuh masak, menjadikan respons pembaca juga menjadi tidak benar dan separuh masak.

Justeru, menjadi tanggungjawab pihak media, wartawan mahupun penulis dalam menyampaikan berita dan maklumat yang benar kerana ia satu etika yang mesti dilaksanakan.

Namun begitu, menjadi tanggungjawab pembaca pula untuk memastikan kesahihan dan mendapatkan penjelasannya sebelum memberikan komentar dan respons dengan tepat, seimbang dan adil.

Sempena bulan kemerdekaan ini, ayuh merdekakan diri daripada sikap suka menghukum dan memberi respons dengan kata-kata negatif. Lazimkan diri dengan menyemak kesahihan sesuatu berita dan mendapatkan penjelasannya.

Tidak pasti, jangan kongsi. Berkata dan berilah komentar serta respons yang baik. Jika ini pun tidak mampu, diam adalah lebih baik.

*HAFIZUDDIN ABDUL MUKTI merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia.