Malaysia Dateline

Iktibar kisah sadis pembunuhan Abdullah Ibn Khabbab

Siapakah Abdullah Ibn Al Khabbab RA? Beliau adalah anak kepada Al Khabbab Ibn Al Aratt RA, sahabat Nabi SAW yang merupakan tukang besi yang diseksa oleh tuannya kerana memeluk agama Islam.

Al Khabbab juga adalah sahabat Nabi SAW yang mengajarkan Al Quran kepada Fatimah Binti Al-Khattab yang terkenal dengan peristiwa dimana Umar Al Khattab RA memeluk Islam ketika beliau mendatangi rumah Fatimah dan suaminya yang sedang belajar Al Quran dari Al Khabbab RA.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa Abdullah Ibn Al Khabbab RA juga adalah termasuk di kalangan sahabat Nabi SAW walaupun dia mungkin masih kanak-kanak kecil ketika Nabi SAW masih hidup.

Abdullah Al Khabbab RA sedang bermusafir di wilayah Kufah bersama isterinya yang sedang sarat mengandung apabila pasangan itu ditahan dan ditawan oleh puak Khawarij yang sedang memerangi Amirul Mukminin, Ali Ibn Abi Talib RA.

Pemimpin Khawarij yang menahannya menanyakan kepada Abdullah Al Khabbab RA tentang apa pandangan beliau terhadap Ali RA. Abdullah mengatakan, “Ali lebih memahami Kitab Allah, lebih berhati-hati dalam urusan agama, dan lebih bijaksana berbanding kamu semua”.

Marah dengan jawapan Abdullah tersebut, puak Khawarij lalu membunuh beliau dan isterinya. Mereka membelah perut isterinya dan mengeluarkan anak dalam kandungan itu.

Golongan Khawarij dikenali sebagai mereka yang bibirnya tidak lekang dengan zikir dan bacaan Quran. Mereka juga cukup banyak mendirikan solat sunat berbanding orang lain. Tetapi bagaimana hati mereka boleh jadi sekeras itu dan tindakan mereka boleh jadi sekejam itu?

Puncanya ialah politik. Kebencian mereka terhadap musuh politik mereka seolah-olah telah menghalalkan tindakan zalim mereka. Mereka memetik ayat-ayat Quran sesuka hati untuk menjustifikasikan apa sahaja tindakan mereka, walaupun bercanggah dengan ajaran agama.

Kiranya kita bertemu golongan manusia yang penampilan agamanya tidak berjaya menyembunyikan angkuh sombong, keras hati, lancang mulut, kejam laku, kuat benci, dan keterlaluan dalam pertelingkahan maka berhati-hatilah.

Mereka mungkin mengulangi kejahatan golongan Khawarij. Semoga Allah SWT mengurniakan shahid ke atas Abdullah Ibn Al Khabbab RA.