Malaysia Dateline

Wan Salim Wan Mohd Noor Dr 1

Iktiraf Israel bererti khianati umat Islam

Mana-mana negara Islam yang mengiktiraf kewujudan negara haram Israel bererti mereka mengkhianati seluruh Islam umat.

Demikian dinyatakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurut beliau keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menormalisasikan hunungannya dengan Israel amat mengecewakan umat Islam seluruh dunia.

Jelasnya, tindakan ini menambahkan lagi siri pengkhianatan para pemimpin dunia Islam tertentu terhadap isu negara Palestine yang dirampas daripada rakyatnya oleh golongan zionis Yahudi sejak tahun 1948 ekoran perjanjian yang dikenali sebagai ‘deklarasi balfour’ pada tahun 1917.

Katanya lagi, golongan zionis memang memiliki agenda atau aspirasi bukan sahaja menakluki bumi Palestine sebaliknya meliputi seluruh kawasan Timur Tengah dari Lembah Nil sehingga Euprates di Iraq.

“Isu Palestine bukan isu penduduknya sahaja tetapi ia merupakan isu umat Islam dan wajib disokong perjuangan rakyat Palestine menentang penjajah Zionis-Israel serta menentang sebarang usaha mengiktiraf penubuhan negara haram Israel dibumi Palestine dimana terletaknya Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama dan tempat suci ketiga bagi umat Islam.

“Disamping itu penubuhan negara Israel tidak sah dari sudut sejarah, agama dan undang-undang. Manakala membantu perjuangan untuk membebaskan bumi Palestine daripada cengkaman penjajah Israel bererti membantu perjuangan seluruh umat Islam dan membantu agama Islam.

“Adalah diharapkan negara-negara Islam akan terus setia dengan perjuangan rakyat Palestine dan tidak akan mengikut jejak UAE dan segelintir negara-negara lain yang telah mengadakan hubungan dengan negara haram Israel tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau mengadakan perjanjian damai dengan Israel tidak akan membantu ke arah mewujudkan keamanan di Timur Tengah, malah sebaliknya mencambahkan lagi ketegangan dirantau tersebut.

Ia juga berkata, keamanan hanya akan terhasil sekiranya Israel mengembalikan semula hak-hak rakyat Palestine yang dirampasnya dan kawasan-kawasan yang ditakluki dalam peperangan 1967.