Iktiraf UEC rugikan pelajar Cina dari aliran kebangsaan

Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanya akan merugikan pelajar-pelajar Cina dari aliran kebangsaan kerana terpaksa bersaing dengan pemegang sijil yang berasaskan sistem pendidikan Taiwan itu.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pengiktirafan UEC hanya menguntungkan segelintir kaum Cina di negara ini dan bukannya untuk kepentingan keseluruhan kaum itu.

Menurutnya, jika UEC diiktiraf terutama untuk kemasukan ke universiti awam dan kemasukan ke sektor awam, ia sudah tentu akan menjejaskan peluang pelajar-pelajar Cina di aliran kebangsaan.

Jelasnya, ramai yang tidak menyedari, dengan mengiktiraf UEC, peluang anak-anak Cina daripada aliran kebangsaan untuk mendapat tempat di IPTA dan sektor awam akan terjejas kerana mereka terpaksa bersaing dengan pelajar UEC.

“Pengiktirafan kerajaan terhadap UEC bermakna pelajar aliran vernakular swasta Cina kini boleh memohon masuk ke IPTA yang yurannya jauh lebih murah. Mereka juga mahu masuk ke sektor awam yang mempunyai banyak kelebihan berbanding sektor swasta.

Prof Datuk Dr Teo Kok Seong

“Tidak timbul di sini soal keadilan, kesaksamaan atau meritokrasi kerana peluang untuk mereka (lepasan UEC) sentiasa ada di sektor swasta kerana yang rugi adalah pelajar Cina daripada aliran kebangsaan.

“Bahkan, mereka (lepasan UEC) juga boleh menyertai sektor awam setelah melalui proses-proses peralihan dan jika mahu dikatakan mengenai keadilan, mereka perlu tahu bahawa tuntutan itu bakal menyebabkan peluang pendidikan tinggi dan pekerjaan anak-anak Cina dari aliran Kebangsaan terjejas.

“Adakah ini yang mereka mahu lihat?” bidasnya dipetik dari Utusan Malaysia.

Tuntutan

Tambah Kok Seong, pihak yang mencadangkan supaya kerajaan mengiktiraf UEC bagai menahan lukah di tebingan dan cuba mengambil peluang daripada perubahan politik semasa untuk kepentingan mereka.

Beliau menegaskan, apa yang penting ketika ini ialah usaha untuk memperkasakan lagi Dasar Pendidikan Negara (DPK) bagi mewujudkan pelajar holistik yang mampu membina masyarakat yang benar-benar bersatu.

Tegasnya lagi, permintaan yang hanya menumpukan kepentingan sebelah pihak seperti tuntutan pengiktirafan UEC sepatutnya tidak dilayan kerana tindakan itu hanya akan merugikan negara pada masa hadapan.

Untuk rekod, UEC adalah sijil pelajaran bagi Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di bawah seliaan Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Setiap kali menjelang pilihan raya, Dong Zong akan menuntut kedua-dua pihak sama ada BN mahupun blok oposisi supaya mengiktiraf UEC.

Tuntutan serupa dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013 namun tidak dilayan oleh Kerajaan Pusat yang ketika itu dikuasai BN.

Bagaimanapun, PRU-14 menyaksikan manifesto BN turut memasukkan pengiktirafan ke atas UEC juga janji sama terkandung dalam buku Harapan.

Kerajaan sebelum ini tidak mengiktiraf UEC kerana sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantar itu bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

8.8
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 8.3
CATEGORIES
TAGS