Malaysia Dateline

Iktiraf UEC: Terbukti manifesto BN tapi PH teruk diserang

Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir kerajaan Persekutuan teruk diserang ekoran isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) walaupun terbukti hal tersebut terkandung dalam manifesto BN.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, PH dituduh menjual bangsa dan agama di sebalik polemik sistem pendidikan yang dikendalikan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris itu.

Walhal, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dalam ucapan merasmikan kampus baharu Sekolah Tinggi Kuen Cheng di ibu negara menyebut pengiktirafan UEC adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional.

“Dulu teruk PH diserang kononnya jual agama jual bangsa. Kononnya. Dan sekarang terbukti ianya sebahagian dari manifesto BN,” ciap Khalid di Twitter.

Beliau turut berkongsikan sedutan ucapan Najib itu pada 23 April 2018 iaitu lima hari sebelum bermulanya tempoh sebenar kempen PRU-14 yang ditetapkan selama 11 hari.

Khalid Samad

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf UEC dalam pertemuan beliau dengan pimpinan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong), 16 Julai lalu.

Kata Muhyiddin, kerajaan pada 2012 telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Polemik UEC menyerang kerajaan PH sepanjang 22 bulan mengambil alih Putrajaya termasuk penganjuran himpunan membantah sistem pendidikan yang dilihat tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan antaranya mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

PH dalam manifestonya pada PRU-14 juga berjanji untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti awam (UA) sekali gus ke sektor awam.

Walau bagaimanapun, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker mendakwa UEC sukar untuk diiktiraf kerana perlu berdepan dengan halangan tiga pemimpin besar iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, sejarah ketiga-tiga pemimpin itu ketika menjadi kerajaan sebelum ini tidak pernah bersetuju dengan sebarang usaha untuk membolehkan UEC diiktiraf dalam sistem pendidikan negara.

Lian Ker berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara pada 29 Ogos 2018.