Malaysia Dateline

Iktiraf UEC: Tindakan Peguam Negara cabar Perlembagaan

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berpendapat tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk diguna dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Mohd. Azizee Hasan berkata, pengiktirafan itu sepatutnya melalui mesyuarat Kabinet bukan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB).

“Tindakan ini mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dan boleh mewujudkan dualisme sistem pendidikan.

“Pengiktirafan ini membawa kepada pelebaran jurang perpaduan antara semua kaum manakala usaha memupuk perpaduan melalui wadah pendidikan sukar direalisasikan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Azizee Hasan

Azizee juga bimbang tindakan itu akan menganaktirikan murid yang melalui sistem pendidikan arus perdana dan melemahkan usaha memperkasa sekolah kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, keputusan tersebut perlu mengambil kira pandangan semua pihak dan tidak menyentuh sensitiviti kaum lalu bagi mengelak keharmonian antara kaum di negara ini tergugat.

“i-Guru juga mendesak supaya pihak yang berkaitan menangani isu graduan undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang belum diiktiraf dan mendapat kelayakan penuh lagi,” ujarnya lagi.

Pada 29 Mac lalu, Tommy dalam kenyataannya memaklumkan CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021 selepas melakukan perbincangan dengan beberapa pihak.