Malaysia Dateline

Ikut adab, kini Pas desak kerajaan dengan cara berbisik

Setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini Pas mengaku mereka tidak mengambil sikap menekan terhadap kerajaan dan institusi milik kerajaan dalam sesuatu isu.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari Pas mengikut adab berorganisasi dalam menyuarakan dan menyampaikan secara dalaman dengan berbisik dan bertegas apabila perlu.

“Cuma sebagai sebahagian dari Kerajaan, kami mengikut adab dalam organisasi, menyuarakan dan menyampaikan secara dalaman, berbisik dan bertegas bila perlu.

“Kami tidak mengambil sikap menekan sehabis-habisnya Kerajaan dan institusi milik kerajaan sehingga mereka hendak bekerja pun susah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Ahli Parlimen dan pimpinan Pas turut menerima berbagai-bagai aduan dan rayuan supaya menyuarakan keresahan ahli KWSP yang mahukan penambahbaikan i-Sinar.

“Kami daripada parti Pas berkesempatan berdialog dengan YB Menteri Kewangan dan mantan CEO KWSP YM Tunku Alizakri di Kementerian Kewangan tidak berapa lama dulu dan faham kekangan dan cabaran berkaitan i-Sinar.

“Apa pun, kebajikan rakyat di waktu serangan Covid-19 ini paling utama dan khabar penambahbaikan ini bakal merupakan berita baik pada rakyat dan bukti betapa perbincangan dan penyampaian mesej secara berhemah, beradab dan mengikut saluran mampu membuahkan hasil.

“Terima kasih kepada YB Tengku Zafrul dan YAB PM yang sentiasa mendengar suara rakyat. Sama-sama kita nantikan pengumuman yang akan dibuat nanti,” tulis beliau.

Terdahulu, sistem pemohonan i-Sinar mendapat kecaman para pemohon berikutan berlaku masalah teknikal menyebabkan status pemohon yang lulus tiba-tiba bertukar kepada di dalam proses.

Masalah teknikal ini disifatkan telah mempermainkan emosi para pemohon yang amat memerlukan duit mereka untuk kelangsungan hidup ketika PKP 2.0 yang tidak mendapat bantuan secara langsung dari kerajaan seperti mana PKP1.0 Mac lalu.