Ikut feminisme membuta tuli boleh hancurkan wanita, kata Isma

Ikut feminisme membuta tuli boleh hancurkan wanita, kata Isma

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa gaya hidup wanita di Malaysia hari ini banyak dipengaruhi fahaman feminisme.

Presidennnya, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, kehidupan hari ini dibina berasaskan kesamaan gender yang menyeluruh menyebabkan tiada lagi pembahagian peranan berasaskan fungsi semulajadi tuntutan agama dan fitrah.

“Ini telah mengheret wanita termasuk wanita di dunia Islam ke dalam kehidupan sosial yang luas tanpa batas sempadan,” katanya sewaktu berucap merasmikan Persidangan Wanita Islam Antarabangsa (Perwanis) di Shah Alam semalam.

Justeru beliau menegaskan, wanita Islam perlu meningkatkan jati diri agar tidak terikut-ikut dengan fahaman feminisme yang menjadikan wanita hilang jati diri.

“Untuk mempertahankan kenyataan wanita sebagai pemangkin kemanjadian generasi, kita memerlukan ikrar yang luhur dan penegasan yang konkrit dari wanita Islam untuk tidak menelan bulat-bulat apa yang dibawa oleh fahaman feminisme dan menghindarkan diri dari temggelam dalam dunia maya serta mempertegaskan komitmen utamanya pada hal ehwal rumah tangga,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, perkembangan teknologi maklumat juga antara sebab keruntuhan institusi keluarga akibat wanita yang gagal membahagikan masa antara keluarga dan kehidupan sosial.

“Hari ini dunia tanpa sempadan membolehkan sesiapa sahaja khususnya wanita berhubung dengan siapa sahaja di media sosial.

“kadang-kadang kita duduk di rumah tetapi jam 11 malam, 12 malam, pintu rumah ibarat terbuka akibat komunikasi kita di media sosial.

“Banyak kes penceraian berlaku akibat tiadanya kawalan dalam penggunaan media sosial yang tiada batas,” katanya.

Sementara itu, naib Ketua Wanita Isma Dr Norazila Baharin yang juga pengarah Perwanis mengingatkan wanita Islam agar lebih peka dan beretika ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Ancaman jenayah siber semakin meningkat dan kebanyakan mangsanya adalah wanita .

“Love scam, rogol, peras ugut web cam, siber buli dan pornografi adalah antara ancaman yang boleh menghancurkan institusi keluarga dan mengakibatkan kesan buruk kepada wanita,” katanya.

Perwanis yang berlangsung selama dua hari bemula semalam menghimpunkan ahli-ahli akademik, aktivis masyarakat dan semua yang terlibat dalam isu-isu sosial di peringkat antarabangsa bagi berkongsi pengalaman dan strategi penyelesaian di tempat masing-masing.

Para pembentang kertas kerja terdiri daripada tokoh-tokoh wanita dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

TAGS