Malaysia Dateline

Ikut jejak Dr Shahruddin setelah menang atas tiket PH, kata AMANAH

Semua pemimpin yang telah menang atas mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) diseru supaya mengisafi kedudukan mereka dan bertindak berdasarkan prinsip seperti yang diambil oleh Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad dalam satu kenyataan beliau berkata, beliau amat kagum dengan tindakan bekas timbalan beliau di Kementerian Wilayah Persekutuan itu yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya atas sebab prinsip.

“Beliau melepaskan jawatan semata-mata kerana menghormati mandat rakyat kepada beliau dalam pilihan raya umum ke 14 lalu di Parlimen Sri Gading adalah mandat kepada Pakatan Harapan dan bukan Perikatan Nasional,” katanya.

Padahal, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, beliau adalah antara orang yang paling rapat dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pernah menjadi Setiausaha Politiknya semasa Muhyiddin Timbalan Perdana Menteri.

“Namun hubungan rapat ini tidak mengaburkan pernilaian beliau sehingga beliau tetap bertindak atas dasar prinsip.

“Tahniah atas keberanian dan prinsip yang dipertahankan oleh Dr Shahruddin,” kata Khalid.