LANGSUNG DARI SUNGAI BESAR: Calon Amanah ajak tolak politik permusuhan

LANGSUNG DARI SUNGAI BESAR: Calon Amanah ajak tolak politik permusuhan

5.00 petang – 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sungai Besar ditutup. Tumpuan kini beralih ke pusat penjumlahan undi di Dewan Seri Bernam.

4.51 petang – Hanya beberapa minit sebelum pusat pengundian ditutup pada jam 5.00 petang, namun para perayu undi tetap setia melaksanakan tugas merayu undi.

3.20 petang – Ahli dan penyokong Pas yang masih keliru dengan pendirian parti itu boleh membuat keputusan memilih calon Amanah, kata Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir. Beliau ditemui di perkarangan SK Sg Hj Dorani berkata, Amanah adalah gabungan dalam Pakatan Harapan manakala Pas bersendirian.

2.54 petang – Sehingga jam 2.00 petang tadi, sumber SPR berkata 58% pengundi telah keluar mengundi pada PRK Sungai Besar.

Timbalan Presiden Pas, Dato' Tuan Ibahim Tuan Man melawat pusat mengundi SK Sungai Leman, Kampung Parit Tali Air 7.

1.53 petang – Proses pembuangan undi terus berlangsung namun para petugas parti-parti yang bertanding mengambil kesempatan menunaikan solat Zohor.

Di Surau Kampung Sungai Haji Dorani, para petugas kempen menunaikan solat Zohor berjemaah.

1.40 petang – Setelah lima jam Pusat Daerah Mengundi (PDM) di buka dari jam 8.00 pagi tadi, hampir 50 peratus pengundi sudah menjalankan tanggung jawab mereka untuk memilih wakil rakyat baru bagi PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Di Parlimen Sungai Besar sejumlah 19,064 iaitu 45 peratus daripada sejumlah 42,365  pemilih berdaftar telah keluar pada awal pagi ini di 28 buah PDM.

Manakala di Parlimen  Kuala Kangsar  sehingga jam 12.00 tengahari tadi mencatatkan jumlah keluar mengundi  sebanyak 46 peratus iaitu mewakili 15,157 pengundi daripada  keseluruhan 32,949 daftar pemilih membabitkan 23 buah PDM yang di buka hari ini.

 

Kita semua Islam semua rakyat Malaysia perlu amal politik tanpa pemusuhan kata Ustaz Azhar

Calon BN bergambar dengan muslimat Pas

12.40 tengahari – Calon BN, Budiman Zohdi, sempat bergambar dan bertanya khabar dengan beberapa muslimat Pas ketika keluar dari SK Sungai Haji Dorani. Malaysia Datelime diberitahu Budiman yang juga Adun Sungai Panjang tidak pula bergambar mesra dengan petugas Amanah.

Sehingga jam 11 pagi maklumat SPR menyatakan 34 peratus telah keluar mengundi

 Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Iskandar Samad disambut mesra petugas BN

Bekas SU Umno cawangan, Ahmad Derom, 77 dibawa ke tempat mengundi menggunakan Ambulan Unit Amal Pas

11.40 pagi – Menurut Yang Dipertua Pas Kawasan Tawau, Ahmad Hussain, parti itu dijangka tidak mengalami banyak kesan dengan penyertaan Amanah pada PRK ini.

“Kita ada peluang dengan BN dalam 50:50. Harapnya begitulah walaupun kita tak dapat tanda-tanda nyata,” ketika ditemui di jalan masuk SK Sungai Haji Dorani.

Beliau yang bertugas dalam UPU Pekan Sungai Besar bagi PRK ini memberitahu sebahagian penyokong BN yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib akan memilih Pas.

“InsyaAllah. Kita parti lama dan lebih dikenali. Rakyat akan pangkah Pas,” ujarnya mesra.

Yang Dipertua Pas Kawasan Tawau, Ahmad Hussain yakin Pas mampu buat kejutan.

Calon Amanah ajak semua amal politik tanpa permusuhan

“Kalau nak politik matang biar yang sebenar,” kata calon Amanah, Ustaz Azhar Datuk Shukur ketika ditemui di SMK Sungai Besar dalam masa beliau melawat tempat-tempat mengundi.

Kata-kata itu sebagai jawapan teriakan petugas Pas yeng meneriak “politik sejahtera Ustaz!”

“Sepatutnya tiada apa yang perlu dijadikan permusuhan hanya kerana berbeza fahaman parti politik.”

“Kita ini kan sama Islam, rakyat Malaysia, menghuni di daerah dan kampung yang sama. Habis pilihan raya kita akan bertemu di mana-mana,” ujarnya.

Ustaz Azhar memberitahu sambutan pengundi menggalakkan. Beliau berharap cuaca yang baik akan membolehkan lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Menjawab sapaan petugas Umno denagan sindiran “hanya tinggal harapan” beliau membalas ” tetap ada harapan” sambil masing-masing bergelak ketawa.

Sahabat lama

“Tetap ada harapan”, kata Ustaz Azhar ketika menyapa kumpulan petugas BN di SMK Sungai Besar, Petugas Amanah, Pas dan BN sama ceria menyambut beliau yang kelihatan bersahaja dan mudah didekati, selalu menceriakan.

Bersama petugas Amanah

Petugas BN turut ceria

Calon Amanah Ustaz Azhar Datuk Shukur disambut meriah ketika melawat pusat pengundian

Calon Amanah disambut meriah ketika melawat pusat-pusat pengundian di Sungai Besar pagi ini. 

ACP Khalil Ariffin

Seramai 1,000 anggota polis ditempatkan di 30 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sungai Besar hari ini untuk mengawal pengundi-peengundi uabgcakan membuang undi sehingga petang ini.

Menurut Pegawai Perhubungan Media PDRM Parlimen Sungai Besar, ACP Khalil Ariffin, sejak pusat pengundian dibuka jam 8 pagi tadi tiada sebarang insiden penyokong dan pengundi dilapor berlaku.

“Pada hari ini keadaan tenang dan terkawal.

“Pihak polis sejak jam 4 pagi tadi sudah mula berkawal di kawasan PDM.

“Cuaca nampak memberangsagkan pagi ini dan diharapkan pengundi akan keluar awal,” ujarnya.

Di PDM Sungai Limau seramai 50 anggota polis ditugaskan mengawal keadaan di pusat pengundi di sini.

“Suka saya nasihatkan semua pengundi dan penyolong parti supaya tidak ambil tindakan di luar batas undang-undang SPR dan polis sehingga masa diumumkan jumlah undi di pusat pengumpulan undi pada malam ini,” terangnya.

Pengundi berusia 107 tahun turut ambil bahagian

Dalam usia yang sudah menjangkau 107 tahun Asmah Kassan dari Simpang Empat Sungai Limau hadir tepat jam 9 pagi ini untuk memilih wakil rakyat yang baru di Parlimen Sungai Besar hari ini.

Asmah hadir berkerusi roda ditemani dua anak saudara dan seorang cucunya.

Ditanya perasaannya hari ini, beliau hanya menjawab,”entahla” dalam bahasa jawa yang diterjemahlan oleh cucunya Indarwati Tumadi, 44.

Calon BN membuang undi

Daripada tiga calon yang bertanding hari ini hanya calon BN pengundi berdaftar di Sungai Besar,

Budiman Mohd Zohdi tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Sungai Limau tepat jam 8.35 pagi tadi.

Beliau hadir ditemani isterinya Norma Aida, bapa Mohd Zohdi Abdullah dan ibunya Fatona Saiman.

Budiman yang membuang undi di saluran dua hari ini berkata beliau hari ini mempunyai jadual ketat sehingga petang ini untuk melawat 30 PDM di Parlimen Sungai Besar yang mempunyai dua dewan undangan negeri (Dun) Sekinchan dan Sungai Panjang.

“Jadual lawatan ke pusat pengundian agak padat hari ini di 30 PDM.

“Alhamdulillah saya dapat hadir bersama ahli keluarga di sini.

“Diharapkan semua berada dalam keadaan terkawal dan harap cuaca baik sehingga petang ini,” ujarnya ringkas dalam sidang media diadakan di luar kawasan PDM pagi ini.

Pengundi Cina positif dengan petugas Amanah

Pengundi Cina kelihatan cenderung memberi reaksi positif kepada kumpulan peraih undi dari Amanah dengan bertegur sapa dan berbual mesra.

Najid dan Ahmad mula bertugas

8.30 Pagi – Kumpulan penyokong Amanah, Pas dan BN tenang ketika cuba meraih perhatian di perkarangan SK Seri Utama. Kelihatan Mohd Najid (kiri) dan Ahmad memberitahu 30 orang dari unit mereka bertugas di situ.

Jamali Jaruti

Pengundi paling awal yang kami temui, Jamali Jaruti, seorang guru berkata pengundi sudah matang dan hari ini akan membuat keputusan untuk menentukan ketetapan masing-masing memilih parti dan calon pilihan mereka.

Cuaca mendung namun pengundi pasukan kempen Amanah bersemangat

8.00 pagi –  Cuaca sekitar Parlimen Sungai Besar mendung. Seramai 42,655 pemilih bakal membuang undi di 18 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi Dun Sungai Panjang dan 10 lagi di Sekinchan.

Pengundi beratur sebelum sewal 7.30 pagi sebelum proses pembuangan undi dimulakan

Pengundi siap sedia setengah jam lebih awal sebelum proses pengundian dimulakan.

Pusat Daerah Mengundi SK Sungai Limau, calon BN dijangka akan membunag undi di sini jam 8 pagi ini

Kempen provokasi di masjid?

Walaupun tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar sudah berakhir tengah malam tadi tetapi nampaknya tidak bagi pihak pengurusan Masjid Jamek Makmuriah.

Sementara menantikan solat Subuh berjemaah dimulakan sebentar tadi, skrin elektronik bersebelahan mimbar masjid sempat menayangkan paparan yang dilihat berbaur provokasi.

Imej yang asalnya merupakan satu sidang media dihadiri sekumpulan Ahli Parlimen DAP diletakkan bersama ungkapan “Haram sokong pihak tolak undang-undang Islam.”

Kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman berserta wajahnya itu juga dinyatakan telah dipetik dari akhbar Berita Harian bertarikh 1 Jun lalu.

Sementara itu, doa Qunut Nazilah yang sunat dibacakan ketika umat Islam ditimpa musibah turut beberapa kali dibacakan.

Dalam perkembangan berkaitan, puluhan kertas bersaiz A4 berwarna kuning kelihatan bertaburan di bahagian luar pintu utama masjid tersebut.

Terpampang ayat “Keluarga Komunis Malaysia” dengan ungkapan “Undi Pan = Undi DAP = Undi Komunis”.

Gelaran “Pan” yang sebelum ini kerap diguna pihak Umno dan Pas sebagai merujuk kepada Amanah itu menyaksikan mesej provokatif mengaitkan parti diterajui Mohamad Sabu itu dengan DAP dan komunis.

Seramai tujuh pemimpin DAP serta bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin kononnya mempunyai hubungan persaudaraan dengan bekas Setiausaha Agung dan Ketua Umum Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya melarang mana-mana pihak menaikkan sebarang bentuk medium yang menyalahi peraturan SPR.

Hari ini seramai 42,655 pemilih bakal membuang undi dengan 67.16 peratus daripada mereka merupakan pengundi Melayu manakala Cina 30.70 peratus, India 1.92 peratus serta lain-lain 0.23 peratus.

Di Sungai Besar, 42, 837 pengundi berdaftar akan membuat keputusan untuk memilih ahli parlimen mereka melalui pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Budiman Zohdi, calon Amanah, Azhar Abdul Shukur dan calon Pas, Dr Abd Rani Othman.
PRK ini diadakan berikutan kematian ahli parlimen kawasan ini, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Wartawan kami, DALIA ISMAIL dan ARIF ATAN akan membawakan kepada anda liputan langsung dari lokasi pengundian di Sungai Besar hari ini.

 

COMMENTS

Wordpress (0)