Ilham Centre nafi keluar ‘opinion poll’ PRK Sungai Besar

Ilham Centre nafi keluar ‘opinion poll’ PRK Sungai Besar

CEO Ilham Centre Hisomuddin Bakar

Firma kajian bebas Ilham Centre hari ini menafikan ada mengeluarkan maklumat kaji selidik berkenaan Pilihan Raya Kecil P093 Sungai Besar seperti sedang viral di facebook dan juga melalui aplikasi whatsapp.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar dalam satu kenyataan berkata maklumat cetak skrin yang tersebar itu bukan di bawah kendalian pihak mereka.

“Sepanjang kami ditubuhkan, kami tidak menggunakan metodologi undian pantas atau ‘quick poll’ dalam kajian kami.

“Semua bentuk kajian adalah melalui kajian lapangan menggunakan kaedah tatap muka (face to face) dengan responden,” tulis beliau di facebook.

Cetak skrin yang tersebar itu antara lain menunjukkan peratusan sokongan undi terhadap tiga parti bertanding pada PRK itu iaitu BN, Pas dan Amanah bagi dua tarikh yang berbeza iaitu 8 dan 10 Jun 2016.

Pada maklumat itu, peratusan undi BN dan Pas masing-masing berkurang daripada 56 kepada 46 peratus dan 24 kepada 18 peratus, manakala meningkat secara drastik bagi Amanah iaitu daripada 20 kepada 36 peratus.

“Oleh itu, maklumat yang tersebar melalui media sosial yang menggunakan nama kami adalah palsu,” katanya.

Nama Ilham Centre tidak asing lagi bagi pengikut tegar perkembangan politik tanahair ekoran sering mencul dengan hasil kaji selidik mereka berkenaan kecenderungan pengundi pada setiap kali berlakunya pilihan raya.

Lebih menarik, hasil kajian mereka disifatkan banyak pihak sebagai antara yang paling dekat dengan keputusan sebenar yang diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terbaharu, kajian mereka terhadap sikap pengundi pada PRN Sarawak juga mendapat perhatian banyak pihak ekoran bacaan yang hampir tepat.

COMMENTS

Wordpress (0)