Malaysia Dateline

Ilham Centre ramal Pas hadapi laluan sukar di PRK Port Dickson

 

 

Azlan Zainal

Meskipun mengalu-alukan keputusan Pas menyertai pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson atas semangat demokrasi badan kajian Ilham Centre meramalkan parti itu bakal menghadapi laluan sukar.

“Pas akan mengumumkan calon yang bakal bertanding. Perkiraan menang sangat sukar atas banyak faktor terutama pecahan pengundi, ketiadaan ‘winnable candidate’, tapak sokongan yang lemah dan pelbagai pembolehubah lain yang tidak memihak,” kata Pemangku Ketua Eksekutifnya, Azlan Zainal dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Pas Negeri Sembilan katanya seakan lumpuh terutama di kawasan Jelebu dan Teluk Kemang.

“Setelah hampir 3 tahun sebahagian besar ahlinya berhijrah meninggalkan parti, menyertai AMANAH.

“Ditambah kekalahan teruk pada PRU14 dengan majoriti kawasan yang ditandingi diperingkat Dun hilang wang deposit,” katanya.

Parti itu katanya hanya dapat berharap pada isu yang mungkin sedikit membantu.

“Tetapi dengan mengambil kira semangat demokrasi ia wajar dihormati dan keberanian Pas wajar dipuji. Namun, adakah ia tepat, berbaloi atau sebaliknya, kita tunggu bersama,” katanya.

Port Dickson menurutnya, merupakan kubu PH, dengan komposisi kaum 43% Melayu, 33% Cina dan 22% India.

“Hemat pembangkang ia merupakan pilihanraya yang diada-adakan.

“BN memboikot kerana tidak yakin atas kebolehmenangan dan ia mencerminkan kelemahan pembangkang secara keseluruhan.

“Kekalahan pada PRU lepas telah meletakkan Umno pada posisi yang defensif,” katanya.

Menurutnya krisis keyakinan terus menghambat parti itu sehingga tampak gagal mendapatkan dokongan akar umbi Umno malah begitu lemah dalam usaha menarik kembali sokongan rakyat.

“Isu-isu sensitif 1MDB, rasuah, kleptokrasi dan lain-lain yang berlegar di massa tidak mampu untuk memulihkan keadaan dan kekal membelenggu Umno dari berubah.

“Persepsi buruk terhadap Umno semakin susah dihakis.

“Terkini beberapa orang pimpinan kanan dan veteran parti telah memilih meninggalkan Umno atas pendirian Umno yang tidak konsisten.

Dalam konteks Negeri Sembilan katanya, meletakkan BN lebih signifikan berbanding Pas.

“Merujuk data yang lepas, undi yang diperolehi BN di Port Dickson jauh lebih tinggi sekitar 18,515 berbanding Pas 6,594.

“Peluang agak lebih baik kepada BN berbanding Pas.

“Apapun Pas dilihat menyelamatkan maruah pembangkang dengan tidak memberikan laluan mudah kepada Anwar Ibrahim.

“Memahami Anwar sukar dikalahkan, pendirian BN memboikot PRK hanyalah satu ‘political stunt’ kerana politik itu melibatkan pertimbangan peluang dan bersifat dinamik.

“Zahid cuba mengintai ruang ke hadapan dengan tindakan yang menguntungkan dikala dia sendiri menyedari bahawa Umno yang semakin ‘damage’ dan sukar diperbaiki,” katanya.